SHAH ALAM 30 Mei - Kerajaan Selangor mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pusat yang membenarkan penduduk di kawasan Bandar Mahkota Cheras dan sekitarnya menggunakan jalan pintas ke Lebuh Raya Cheras-Kajang.
Pejabat Menteri Besar Selangor dalam kenyataan akhbar hari ini berkata, kerajaan Pusat dan Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohamad Zin Mohamed telah membuat keputusan yang betul dalam menangani isu tersebut.
Kenyataan itu menyebut, kerajaan negeri berharap semua penduduk Bandar Mahkota Cheras akan berpuas hati dan bersyukur dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Pusat itu.
"Seluruh rakyat negeri ini khususnya penduduk Bandar Mahkota Cheras pasti gembira menerima keputusan ini," ujarnya.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor itu, kerajaan negeri juga berharap agar Kementerian Kerja Raya dapat membuat keputusan yang sama jika masih terdapat masalah serupa di tempat lain.