KUALA LUMPUR - Pemegang konsesi lebuh raya Cheras-Kajang, Grand Saga Sdn. Bhd. (Grand Saga) akur untuk terus membuka persimpangan keluar masuk di Bandar Mahkota Cheras walaupun mahkamah memutuskan akan berpihak kepadanya berhubung isu laluan itu.
Pengarah Eksekutif Perhubungan Pembangunan Perniagaan dan Korporat Grand Saga, Zainal Abidin Ali berkata, pihaknya bersedia untuk berbuat demikian sebagai mematuhi kehendak kerajaan.
"Kita akan turuti kehendak kerajaan dan orang ramai di situ untuk terus membiarkannya dibuka dan akan menerima pampasan seperti yang telah dijanjikan,'' katanya.
Isu di persimpangan tersebut yang berlarutan sejak dua tahun lalu berakhir kelmarin apabila kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya bersetuju agar laluan itu dibuka sementara keputusan mahkamah mengenainya dikeluarkan kelak.
Sebelum ini, penduduk di sekitar kawasan itu mahu ia terus dibuka bagi membolehkan mereka tidak perlu membayar tol dan berpusing jauh sekali gus memudahkan keluar masuk ke bandar itu.
Penduduk mendakwa persimpangan tersebut disediakan oleh pihak pemaju untuk kemudahan mereka.
Bagaimanapun, ekoran keputusan mahkamah, Grand Saga bertindak menutup laluan tersebut sehingga rayuan penduduk di mahkamah mengenainya diputauskan.
Kumuncak kepada isu tersebut, apabila beberapa orang dilaporkan cerdera apabila penduduk dikatakan bergaduh dengan sekumpulan lelaki yang menghalang laluan tersebut dibuka.