Motosikal boleh guna Lebuhraya KL-Putrajaya | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Penunggang motosikal dibenar menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya berkuatkuasa semalam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira kepentingan pengguna lebuh raya terutama penunggang motosikal.

Dalam kenyataannya beliau berkata, tindakan itu secara tidak langsung dapat menggalakkan pengguna menggunakan motosikal berikutan kenaikan harga minyak, kelmarin.

Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya sepanjang 26 kilometer menghubungkan ibu negara ke Putrajaya, Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang itu dibuka secara rasmi pada 13 Disember 2007.

 

Sementara itu, media dibawa melawat lebuh raya berkenaan pagi semalam, bagi meninjau kemudahan disediakan di situ. 

Pengurus Besar Acara, Maju Expressway Sdn Bhd (MESB), Riza Selahettin Khuddus turut mengumumkan pertukaran nama baru bagi Konsortium Lapangan Terjaya Sdn Bhd, syarikat yang bertanggungjawab membina dan menyelenggara lebuh raya itu yang kini dikenali sebagai MESB.

Beliau berkata, lebuh raya Maju Expressway (MEX) berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan untuk memastikan keselamatan pengguna dan perjalanan trafik bergerak lancar.

"Kami menyediakan kemudahan panggilan telefon kecemasan, pengawasan trafik 24 jam, kamera litar tertutup dan papan pesanan elektronik bagi kemudahan orang ramai yang menggunakan laluan ini," katanya.

Menurutnya, kemudahan kawasan rehat turut disediakan di laluan ini berdekatan Seri Kembangan.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Harian Metro