KAJANG: Kerajaan mengarahkan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan Grand Saga Sdn Bhd (Grand Saga), syarikat konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang, membaik pulih segera persimpangan Bandar Mahkota Cheras seperti keadaan asal menjelang Jumaat ini.
Menteri Kerjaraya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed, berkata arahan dikeluarkan bagi keselesaan orang awam menggunakan kemudahan itu di samping memastikan aliran trafik terkawal dan dapat digunakan dengan maksimum.
"Antara pembaikan yang diarahkan termasuk pemasangan enam lampu isyarat baru sebagai tambahan kepada empat lampu isyarat sedia ada bagi memastikan aliran trafik terkawal terutama waktu puncak.
"Kita juga mengarahkan Grand Saga menurap segera semua lubang yang sebelum ini dikorek bagi membina penghadang, manakala LLM akan melakukan pemantauan," katanya selepas lawatan ke persimpangan itu semalam.