Kadar baru tol diumum selepas kajian terperinci | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

PUTRAJAYA: Keputusan penurunan kadar tol hanya akan diketahui selepas jawatankuasa khas ditubuhkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) selesai melakukan kajian terperinci mengenainya, pada Ogos ini. 

Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata kerajaan sudah memulakan kajian dan rundingan dengan semua syarikat konsesi lebuh raya untuk menilai semula kadar tol, termasuk menurunkan kadarnyaBeliau berkata, antara perkara diambil kira dalam kajian yang akan mengambil masa tiga bulan itu ialah unjuran trafik, klausa perjanjian, kadar tol, tempoh konsesi serta jumlah pembiayaan yang diperlukan bagi sesebuah syarikat membayar balik pinjaman, menyelenggara dan menjalankan operasi. 

"Kita tidak boleh membuat keputusan sekarang kerana jawatankuasa khas masih melakukan kajian dan meneruskan rundingan dengan syarikat pemegang konsesi tol lebuh raya negara ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, kelmarin yang menyarankan kerajaan menurunkan atau memansuhkan kadar tol lebuh raya sebagai usaha proaktif mengurangkan beban rakyat berikutan pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel, bermula Khamis lalu. 

Berikutan itu, Khairy berharap kerajaan akan mempercepatkan proses rundingan dengan syarikat konsesi lebuh raya supaya pelaksanaan penurunan atau pemansuhan kadar tol dilaksanakan, secepat mungkin. 

Selain itu, Khairy meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempertingkatkan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga secara mendadak. 

Awal bulan lalu, LLM menubuhkan jawatankuasa khas bagi melaksanakan kajian untuk memastikan tiada kenaikan kadar tol di semua lebuh raya seluruh negara. 

Ketua Pengarah LLM, Datuk Razali Osman, berkata jawatankuasa yang dianggotai agensi pakar pelbagai bidang, turut membuat penelitian terhadap kadar penurunan tol dan kesan kepada semua pihak. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Minggu