KOTA KINABALU 8 Jun - Peruntukan bagi membiayai projek Kementerian Pengajian Tinggi dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dikurangkan RM800 juta.
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin berkata, pemotongan itu masih kecil berbanding RM18.2 bilion yang diperuntukkan di bawah RMK-9.
Beliau berkata, tindakan Unit Perancang Ekonomi (EPU) itu juga tidak menjejaskan projek kementerian secara keseluruhan.
''Sesetengah projek didapati tidak berdaya maju, ada yang kos meningkat dan sesetengah didapati tidak diperlukan, sebab itu projek tersebut dihapuskan manakala sebilangan tidak dapat diteruskan.
''Bagaimanapun peruntukan bagi Universiti Malaysia Sabah (UMS), satu sen pun kementerian tidak potong," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah Sekolah Perubatan UMS di sini hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Mohd. Noh Dalimin.
Sekolah Perubatan UMS merupakan salah satu daripada 19 projek Kementerian Pengajian Tinggi dalam tempoh RMK-9.
Projek bernilai RM259 juta itu melibatkan pembinaan kampus tetap di kawasan seluas 14 hektar dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Mohamed Khalid berkata, kebanyakan projek yang dihapuskan adalah melibatkan pembinaan keperluan di IPTA termasuk pembinaan infrastruktur baru.
Tambah beliau, dengan pengurangan peruntukan tersebut, kerajaan berharap dapat menggunakannya untuk pelbagai tujuan lain yang lebih mendesak seperti subsidi makanan.