Kod etika tingkat imej kontraktor dilancar | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 1 Julai - Kementerian Kerja Raya hari ini melancarkan kod etika bagi meningkatkan imej kontraktor serta menjadi panduan mereka dalam melaksanakan sebarang projek pembinaan.

Menterinya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, ia dilancarkan bagi mengelakkan berlakunya kes melibatkan kontraktor tidak beretika sehingga menyebabkan projek terbengkalai.

''Kita lancarkan kod ini untuk menjamin semua kontraktor mengikut panduan dan tidak berlaku kelewatan dalam setiap projek pembinaan yang diberi," katanya.

Mohd. Zin berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar etika dan integriti kontraktor pembinaan di Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini hari ini.

Sementara itu, kod etika kontraktor yang dilancarkan hari ini merangkumi enam prinsip utama.

Ia termasuklah jujur melaksanakan tanggungjawab; pematuhan peraturan dan undang-undang; penghormatan kepada individu dan masyarakat; kepentingan kualiti, kemahiran dan piawaian; kepentingan keselamatan, kesihatan dan kebajikan serta kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

Seminar sehari anjuran bersama antara IIM dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia itu dihadiri lebih 1,000 kontraktor serta peserta industri pembinaan.

Mohd. Zin berkata, kementeriannya akan menjadikan aspek integriti sebagai tunjang penting semasa berurusan dengan agensi lain.

''Kita utamakan integriti. Kita tekankan aspek ini kepada semua agensi dan pihak swasta yang berurusan dengan kementerian," ujarnya.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia