Hapus tol di Selangor | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

SHAH ALAM: MCA Selangor memohon kerajaan supaya mengurang atau menghapuskan bayaran tol di lebuh raya di Selangor bagi meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Pengerusi MCA Selangor, Datuk Tang See Hang, berkata penghapusan atau pengurangan tol dapat dilaksanakan jika kerajaan membeli balik syarikat konsesi lebuh raya.

"Untuk tujuan itu, kerajaan boleh menggunakan pembayaran subsidi untuk petrol yang dijimatkan dan keuntungan yang diraih oleh Petronas hasil peningkatan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa yang mencecah AS$142 setong semalam.

"Oleh kerana Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memegang 74.05 peratus ekuiti dalam Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus), MCA Selangor mencadangkan kerajaan membeli Plus dan seterusnya memansuh atau meminimumkan pembayaran tol," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Tang berkata: "Jika kerajaan berhasrat membeli Plus, ia cuma perlu membeli sebanyak 1.3 bilion saham jika mengikut harga pasaran pada 20 Jun lalu iaitu RM2.82 sesaham, kerajaan hanya perlu menggunakan wang RM3.67 bilion untuk memiliki syarikat Plus sepenuhnya."

Katanya, Selangor adalah negeri yang mempunyai banyak tol, di mana 15 daripada 28 syarikat konsesi lebuh raya yang beroperasi di Malaysia mengendalikan lebuh raya di Selangor, manakala kadar tol lebuh raya Plus perlu dinaikkan setiap tiga tahun dan kerajaan terpaksa membayar pampasan jika kadar tol tidak dinaikkan.

"Kontrak ini dilihat sebagai menganiaya rakyat dan adalah tidak adil serta tidak munasabah kerana jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya PLUS semakin meningkat setiap tahun.

"Impak rantaian akibat kenaikan harga petrol menyebabkan kenaikan kos pengangkutan, elektrik dan bahan yang akhirnya menyebabkan harga barangan naik (inflasi) secara keseluruhannya.

"MCA menerima banyak aduan dan rungutan daripada rakyat... ini menyebabkan rakyat kecewa dan marah," katanya.

Tang berkata, MCA Selangor akan menghantar memorandum kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamad, pada 7 Julai ini berhubung pengurangan dan penghapusan bayaran tol di lebuh raya dalam negeri Selangor. - Bernama

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Harian Metro