KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek pembinaan jambatan Kedua Pulau Pinang dan pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Beliau turut menegaskan bahawa UEM Group menerusi konsortium yang turut dianggotai China Harbour Engineering Company (CHEC) kekal sebagai kontraktor utama projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang itu.
Kenyataan beliau sekali gus menafikan disas-desus di pasaran bahawa kerajaan akan menangguhkan beberapa projek pembangunan pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RM-9) termasuk kedua-kedua projek berkenaan.
"Kerajaan tetap akan melaksanakan projek yang sudah dirancangkan yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan, walaupun ia berada di negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.
"Kita Cuma semak semula projek mega yang atidak memberi manfaat secara menyeluruh. NCER dan jambatan (Kedua Pulau Pinang) akan diteruskan kerana memberi manfaat besar kepada masyarakat.
"UEM Group kekel sebagai kontraktor utama projek jambatan itu," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pasaran Modal Islam 2008 di sini, semalam.
Nor Mohamed bagaimanpun enggan mengulas laporan bahawa kerajaan akan mengasingkan elemen pembinaan dan konsesi kutipan tol bagi Jambatan Kedua Pulau Pinang itu.
Mengikut laporan itu, kerajaan merombak projek berkenaan dengan memisahkan elemen utama, iaitu pembinaan dan kosesi utama mengutip tol.
Memetik seorang pegawai kerajaan yang enggan dikenali, laporan itu menyatakan bahgian konsesi tol akan diputuskan melalui satu tender terbuka dan pihak yang mendapatnya perlu berkongsi perolehan dengan kerajaan.
Nor Mohamed berkata, beliau akan mambincangkan perkara itu dengan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.
"Saya akan berbincang dengan EPU dan mengeluarkan kenyatan tidak lama lagi," katanya.
Awal bulan ini anak syarikat pembinaan UEM Group, UEM Builders Bhd berkata, kerajaan sudah meluluskan kenaikan kos bagi pembinaan jambatan itu daripada kos asalnya, iaitu RM4.3 bilion disebabkan peningkatan harga minyak dan bahan binaan.
Ia turut menyatakan bahawa kerja awal bagi pembinaan jambatan itu sudah bermula dan berada pada landasan untuk disiapkan menjelang 2011 seperti dirancangkan dan apabila siap sepenuhnya, ia akan menjadi yang terpanjang di Malaysia dan Asia Tenggara.
UEM Builders berkata, daripada peruntukan berjumlah RM200 juta bagi kerja awal itu. RM15 juta sudah dibelanjakan merangkumi kerja meratakan 80 peratus tapak termasuk mendalamkan laut bagi laluan bot penunda, pemereksaan kandungan tanah dan ujian bebanan.