KUALA LUMPUR 19 Jun - Kerajaan mengulangi pendiriannya akan tetap meneruskan pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua yang berharga RM4.3 bilion dan menyatakan UEM Builders Bhd. Akan kekal sebagai kontraktor utama projek itu.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kerajaan juga tidak akan membatalkan pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
"Saya akan berbincang dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengenai isu berkenaan (Jambatan Pulau Pinang Kedua) dan keputusan mengenainya akan dikeluarkan tidak lama lagi, buat masa sekarang UEM (UEM Builders) adalah kontraktor bagi projek itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Pasaran Modal Islam Malaysia, di sini hari ini.
Persidangan selama dua hari yang bermula semalam itu dianjurkan oleh Bursa Malaysia dan Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC).
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Bursa Malaysia, Tun Dzaiddin Abdullah; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Zarina Anwar dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusof.
Nor Mohamed berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dalam Internet bahwa kerajaan bercadang merombak projek berkenaan dengan memisahkan elemen utama iaitu pembinaan dengan konsesi untuk mengutip tol.
Pada awal bulan ini, UEM Builders telah mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan kenaikan kos pembinaan jambatan itu berbanding sebelum ini hanya RM3 bilion kepada RM4.3 bilion berikutan kenaikan harga minyak dan bahan binaan.
UEM juga berkata, kerja awal bagi projek pembinaan sepanjang 24 kilometer yang dijangka siap menjelang 2011 itu kini berjalan mengikut jadual yang dirancang.
Projek jambatan itu akan dilaksanakan secara usaha sama dengan syarikat asing, China Horbour Engineering Co Ltd.