KUALA LUMPUR: Plus Expressways Bhd (Plus) bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan berhubung rancangan untuk mengkaji semula perjanjian konsesinya, kata Pengarah Urusannya, Noorizah Abd Hamid.
Beliau berkata, Plus juga sudah menyerahkan semua maklumat diminta kerajaan berhubung cadangan untuk mengkaji semula perjanjian itu.
"Kita belum lagi mengadakan rundingan rasmi (dengan kerajaan), tetapi semua maklumat diminta sudah diserahkan. Kita tidak tahu apa hasil keputusan kajian semula itu," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Plus di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Plus, Tan Sri Mohd Sheriff Kassim, yang turut hadir berkata berdasarkan pengalamannya, kerajaan sentiasa mematuhi terma dan syarat yang sudah ditetapkan dalam perjanjian konsesi
"Saya percaya mereka akan terus berbuat demikian dan melindungi kepentingan semua pihak," katanya.
Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, baru-baru ini mengumumkan kerajaan sudah memulakan kajian dan rundingan dengan semua syarikat konsesi lebuh raya untuk menilai semula kadar tol, termasuk menurunkan harganya bagi mengurangkan beban rakyat.
Antara perkara diambil kira dalam kajian itu ialah unjuran trafik, peruntukan perjanjian, kadar tol, tempoh konsesi serta jumlah pembiayaan yang diperlukan sesebuah syarikat membayar balik pinjaman, menyelenggara dan menjalankan operasi.
Walaupun masih pada peringkat kajian dan tiada sebarang jaminan diperoleh mengenai pelaksanaannya, ia adalah satu berita baik buat rakyat yang kini dibebani dengan kenaikan harga barangan keperluan selain beban harga minyak.
Mohd Zin berkata, Plus dibenar menaikkan kadar tol 10 peratus setiap tiga tahun mulai Januari 2001, kecuali 2008 apabila kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkannya, dan selaras perjanjian konsesi dimeterai, kerajaan bersetuju membayar ganti rugi.
Beliau berkata, pembayaran dibuat berdasarkan perbezaan kadar Plus sepatutnya dibenarkan menaikkannya dengan kadar dikenakan syarikat sekarang, didarabkan dengan jumlah trafik sebenar.
Berdasar pengalaman, katanya, kenaikan kadar tol memberikan kesan sementara kepada pertumbuhan trafik di lebuh raya, tetapi selepas beberapa bulan ia kembali seperti asal kerana pengguna dapat menyesuaikan kepada struktur tarif baru.
Plus mencatat pertumbuhan trafik 7.7 peratus tahun lalu iaitu yang tertinggi sejak syarikat itu disenaraikan.
Syarikat itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM384 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2008, meningkat RM118 juta atau 44.5 peratus daripada RM266 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya. Pendapatannya meningkat kepada RM719.4 juta berbanding RM523.9 juta