Terma baru konsesi siap dua bulan lagi | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR-Laporan tentang kajian terma dan syarat baru untuk 28 syarikat konsesi lebuh raya yang sedang dinilai Jawatankuasa Kajian Kadar Tol dijangka dibentangkan kepada Kabinet dua bulan lagi, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamad.

Beliau berkata, jawatankuasa yang dibentuk bulan lepas itu, yang dipengerusikan oleh Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia(LLM),Datuk Syed Jamal Syed Jaafar sedang mengkaji secara menyeluruh beban yang ditanggung oleh syarikat konsesi dan pengguna berikutan situasi semasa yang berlaku.

"Jawatankuasa ini mengkaji banyak perkara dan mengambil kira perjanjian konsesi sedia ada," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan MCA Selangor yang diketuai pengerusinya Datuk Tang See hang di pejabatnya, disini semalam.

Pada pertemuan hamper tiga jam itu, MOhd Zin turut menerima memorandum berkaitan cadangan pengurangan dan penghapusan bayaran tol di lebuh raya di Selangor.

Beliau berkata, kajian terma baru itu juga mengkaji sama ada perlu memansuhkan atau mengurangkan kadar tol.

Mohd Zin berkata, cadangan untuk mewujudkan terma baru itu bukan mudah kerana banyak perkara yang harus diteliti termasuk dari segi perundangan.

Mengenai memorandum MCA Selangor itu, beliau berkata, Pihaknya akan meneliti kandungan memorandum tersebut dengan mengambil kira beban yang perlu dipikul rakyat negeri Selangor berikutan kenaikan harga diesel dan petrol baru-baru ini.

"Kerajaan amat prihatin tentang tekanan yang dihadapi mereka kerana Selangor merupakan negeri yang mempunyai banyak tol dengan 15 syarikat konsesi mengendalikan lebuh lebuh raya di negeri itu,"katanya.

 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian