Plaza tol 'maut' sepi | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

IPOH: Pada tanggal 6 Jun lalu, Kementerian Kerja Raya akhirnya menamatkan operasi Plaza Tol Jelapang arah selatan yang juga dikenali 'plaza tol maut' di kalangan pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sejak ia dibuka lebih 10 tahun lalu. 

Pengumuman Menterinya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed itu ternyata menggembirakan pengguna terutamanya pemandu kenderaan berat seperti bas dan lori yang sering dikaitkan dengan kemalangan maut di Plaza Tol Jelapang. Sepanjang 10 tahun beroperasi, plaza tol itu menjadi lokasi di mana 142 kes kemalangan dilaporkan berlaku dan terbaru, pada Disember tahun lalu yang menyaksikan lapan penumpang bas maut manakala 14 lagi cedera selepas bas yang dalam perjalanan menuruni bukit melanggar belakang lori tangki. 

Bagi mengelak kemalangan maut terus berlaku, Plaza Tol Ipoh Utara (arah selatan) dibina kira-kira 800 meter daripada Plaza Tol Jelapang dengan melaksanakan projek laluan terus tanpa henti dari Ipoh (selatan) ke Jelapang. 

Pembukaan plaza tol baru menyebabkan kutipan tol di Plaza Tol Jelapang (laluan ke selatan) ditamatkan bagi mengelak kemalangan kerana kedudukannya terlalu hampir dengan laluan curam ketika menuruni Terowong Menora. 

Trafik yang menghala ke selatan (dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur ) pula tidak perlu lagi berhenti di Plaza Tol Jelapang untuk membayar tol. 

Sebaliknya, pengguna dikehendaki membuat bayaran tol di plaza tol Ipoh Utara yang terletak kira-kira 800 meter ke selatan Plaza Tol Jelapang. 

Bagi trafik yang menghala ke Jelapang/Chemor, pengguna perlu keluar melaui jalan persekutuan ke Bandar Meru Raya selepas membuat bayaran tol di Plaza Tol Ipoh Utara. 

Sementara itu, bagi trafik yang hendak ke Ipoh/Kuala Lumpur pula, pengguna perlu meneruskan perjalanan melalui jalan tempatan sebelum bertemu semula ke laluan lebuh raya di KM 270 arah selatan. 

Bagaimanapun, operasi tol bagi trafik yang menghala ke utara dikekalkan di mana kenderaan perlu berhenti di Plaza Tol Jelapang untuk mengambil tiket transit sebelum meneruskan perjalanan. 

Plaza Tol Jelapang sedia ada (arah utara) akan dialihkan ke plaza tol baru secara berperingkat bagi membolehkan projek laluan terus tanpa henti antara Ipoh (selatan) ke Jelapang dapat disiapkan pada Oktober nanti. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata plaza tol baru dialihkan kira-kira 800 meter ke selatan selepas beberapa kemalangan maut berlaku sejak beberapa tahun lalu. 

Beliau berkata, Plus menjelaskan keseluruhan kerja menaik-taraf lebuh raya dari Ipoh selatan ke Jelapang memerlukan perbelanjaan RM260 juta dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini. 

"Kedudukan Plaza Tol Jelapang ini tidak strategik dan beberapa kemalangan berlaku. Salah satu usaha kerajaan ialah mengarahkan Plus mengalihkan plaza tol untuk memberi kemudahan kepada pengguna dari utara ke selatan tanpa berhenti. 

Tinjauan Berita Harian di kalangan beberapa pemandu kenderaan berat baru-baru ini mendapati, mereka menyambut baik usaha kerajaan itu yang dilihat mampu mengurangkan kadar kemalangan maut. 

Pemandu bas yang berkhidmat di sekolah berasrama penuh di Kangar, Perlis, Ahmad Nopiah, 41, berkata tindakan menamatkan operasi Plaza Tol Jelapang arah selatan melegakan hati pemandu kenderaan berat yang cukup bimbang dengan keselamatan nyawa mereka setiap kali menuruni cerun bukit menuju ke plaza tol itu. 

Bagaimanapun katanya, pemandu masih perlu berhati-hati ketika menuruni cerun dan sentiasa mematuhi papan tanda arah dan amaran yang disediakan oleh PLUS. 

?Saya menyambut baik usaha kerajaan menutup operasi Plaza Tol Jelapang arah selatan kerana kedudukan itu sangat merbahaya bukan sahaja kepada pemandu kenderaan berat tetapi juga pengguna lain serta kakitangan PLUS itu sendiri. 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian