RM2.9b pampasan tangguh naik tol | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Kerajaan membayar pampasan bernilai RM2.972 bilion kepada empat syarikat pemegang konsesi lebuh raya kerana terpaksa menangguhkan kenaikan kadar tol bagi meringankan beban pengguna. 

Timbalan Menteri Kerjaraya, Datuk Yong Khoon Seng, berkata daripada keseluruhan pembayaran itu, RM2.09 bilion dibayar kepada Lebuhraya Utara Selatan (Plus), Lebuhraya Damansara-Puchong (RM630.4 juta), Lebuhraya Shah Alam (RM150 juta) dan Lebuhraya KL-Karak (RM98.35 juta). 

"Hingga kini, tiada lagi bayaran pampasan dibuat kepada Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) kerana tiada penangguhan kenaikan tol, manakala Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (Silk) dan Lebuhraya KL-Putrajaya pula tiada lagi kenaikan tol sejak mula beroperasi," katanya menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) mengenai jumlah pampasan dan kos pembinaan beberapa lebuh raya utama. 

Mengenai kos pembinaan, Yong berkata, Lebuhraya Utara Selatan dibina dengan kos RM5.9 bilion, Lebuhraya Cheras-Kajang (RM286.4 juta), Lebuhraya Damansara Puchong (RM1.080 juta), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (RM451.7 juta). 

Lebuhraya Shah Alam (RM1.115 bilion), Lebuhraya Pantai Baru (RM660 juta), Lebuhraya Lingkaran Luar Kajang (RM1.003 bilion) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (RM1.252 bilion). 

Menjawab soalan tambahan Lim adakah kerajaan berminat untuk mengambil alih lebuh raya bertol berkenaan, Yong berkata, kerajaan masih mengkaji cadangan itu. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian