Plus belanja RM1.6 bilion sejak 13 tahun | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 2 Julai - Syarikat konsesi lebuh raya, Plus Expressways Berhad (Plus) membelanjakan RM1.6 bilion termasuk RM595 juta pada tahun ini untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan sejak penubuhannya 13 tahun lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, kerja-kerja itu meliputi pelaksanaan dan pemasangan trafik pintar di laluan utama iaitu Lebuh Raya Lembah Klang dan pembesaran lorong di plaza tol untuk melancarkan aliran trafik.

Menurutnya, Plus juga menaik taraf 12 kawasan rehat dan rawat (R&R) dan 16 buah hentian sebelah iaitu pembinaan kemudahan tambahan seperti surau, tandas, medan selera dan stesen minyak sejak lima tahun lalu.

''Sebanyak tujuh persimpangan bertingkat pula telah disiapkan selain menaiktaraf persimpangan bertingkat sedia ada sebagaimana yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Salahudin Ayub (Pas-Kubang Kerian) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mohd. Zin memberitahu, projek pelebaran lorong ketiga antara Seremban dan Ayer Keroh serta Rawang dan Slim River telah disiapkan bagi meningkatkan tahap perkhidmatan dan melancarkan aliran trafik.

Katanya, Plus kini sedang melaksanakan projek laluan terus tanpa henti antara Ipoh (Selatan) dan Jelapang yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2008.

''Bagi mengurangkan gangguan lalu lintas semasa kerja pelebaran dilaksanakan, Plus telah melaksanakan kerja-kerja pengurusan trafik yang merangkumi pemasangan papan tanda amaran tambahan, papan tanda digital dan lain-lain," ujarnya.

Katanya, Plus turut mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan yang lebih efisien bagi kepentingan pengguna lebuh raya.Tambahnya, antara yang dilakukan adalah cadangan waktu perjalanan yang dilaksanakan semasa musim perayaan dan mempertingkatkan keberkesanan dalam memberi perkhidmatan dan bantuan oleh pasukan peronda.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia