Keputusan ambil alih konsesi tol 2 bulan lagi | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 1 Julai - Keputusan sama ada kerajaan akan mengambil alih 19 syarikat konsesi lebuh raya yang beroperasi di Lembah Klang seperti dicadangkan MCA Selangor akan diketahui dua bulan lagi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, pihaknya dalam proses perbincangan dengan syarikat-syarikat konsesi tersebut.

''Kita mahu teliti cadangan itu. Kita mahu keputusannya kelak tidak membebankan mana-mana pihak,'' katanya.

Mohd. Zin berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar etika dan integriti kontraktor pembinaan di Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden IIM, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh.

Beliau mengulas cadangan Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA Selangor, Datuk Tang See Hang supaya kerajaan mengambil alih 19 buah syarikat konsesi lebuh raya yang beroperasi di Lembah Klang dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat ekoran kenaikan harga minyak.

Menurut See Hang, langkah itu bukan sesuatu yang mustahil kerana kerajaan mempunyai kemampuan hasil keuntungan Petronas dan pengurangan subsidi minyak.

Mengulas lanjut Mohd. Zin meminta semua pihak bersabar sehingga perbincangan dengan MCA Selangor dan syarikat konsesi lebuh raya selesai sebelum keputusan muktamad mengenainya dibuat.

''Kita mahu semua sabar. Kita ada masa tiga bulan dan kita baru sebulan berbincang," ujarnya.

Sementara itu, kod etika kontraktor yang dilancarkan hari ini merangkumi enam prinsip utama.

Ia termasuklah jujur melaksanakan tanggungjawab; pematuhan peraturan dan undang-undang; penghormatan kepada individu dan masyarakat; kepentingan kualiti, kemahiran dan piawaian; kepentingan keselamatan, kesihatan dan kebajikan serta kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia