RM37 juta pasang lampu jalan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

SEREMBAN: Dasar pencahayaan yang dilancarkan kerajaan negeri sejak pertengahan tahun lalu menyaksikan laluan kedua-dua arah Lebuh Raya Utara Selatan dari Seremban menuju Nilai kini diterangi lampu jalan yang memudahkan dan melancarkan perjalanan pengguna. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim, berkata kerajaan membelanjakan RM37 juta bagi memasang lampu di kedua-dua arah di laluan sepanjang kira-kira 30 kilometer itu yang dijangka siap sepenuhnya akhir bulan depan. 

Beliau berkata, pemasangan lampu itu bukan sekadar untuk mencantikkan atau menerangi laluan berkenaan, tetapi lebih kepada faktor memastikan keselamatan pengguna lebuh raya berkenaan. 

"Kita akui bukan sedikit jumlah kemalangan berlaku hingga mengakibatkan kematian di laluan itu tetapi dengan adanya lampu jalan itu dapat mengurangkan risiko kemalangan sekali gus memudahkan dan melancarkan perjalanan pengguna," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas Majlis Dialog Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Cawangan Negeri Sembilan yang turut dihadiri Pengarah JKR negeri, Ir Dr Roslan Md Taha. 

Sementara itu, dalam ucapannya, Ismail menasihatkan kontraktor Kelas F di negeri ini melaksanakan projek yang dikendalikan mengutamakan kualiti dan memenuhi spesifikasi ditetapkan selain menyiapkan sesuatu projek mengikut tempoh masa ditentukan. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian