JKR diminta ganti jambatan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

SHAH ALAM 10 Julai - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) segera menggantikan jambatan bersebelahan Taman Rashna di sini yang dikenal pasti antara punca berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan di sini.

Berdasarkan pemantauan MBSA, jambatan yang berusia puluhan tahun itu dibina terlalu rendah hingga menyekat laluan air sungai dan seterusnya menyebabkan banjir kilat yang kerap berlaku di Kampung Rambutan, Padang Jawa dan Sungai Rasau.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSA, Cheremi Tarman berkata, selain menggantikan jambatan, pihaknya juga meminta JKR menaik taraf Jalan Batu Tiga Lama untuk keselesaan penduduk di situ.

Beliau berkata, pihaknya juga meminta JKR membina longkang yang lebih besar di kawasan Sungai Rasau bagi mengelakkan banjir kilat yang turut mengakibat kesesakan lalu lintas apabila laluan di kiri dan kanan Plaza Tol Sungai Rasau dinaiki air.

"MBSA telah menghantar laporan berhubung perkara ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar, Yaakob Sapari untuk makluman dan tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di Shah Alam di sini pada Selasa lalu.

Menurut Cheremi lagi, sebelum ini pihaknya pernah menyuarakan perkara tersebut kepada pihak yang berkenaan.

Ujar beliau, pihaknya yakin jika semua perkara itu dilaksanakan, masalah banjir kilat di tiga kawasan terlibat mungkin dapat dikurangkan dan diatasi.

 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia