Kontraktor RMK-9 dapat bahan binaan pada harga munasabah | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 8 Julai - Semua kontraktor yang terlibat dalam projek pembinaan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan mendapat bekalan bahan yang mencukupi pada harga berpatutan untuk memastikan operasi syarikat-syarikat terbabit berjalan lancar.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed berkata, ini adalah satu langkah proaktif bagi memantau semua kontraktor meneruskan projek pembinaan masing-masing dan mengelakkan kelewatan pembinaan yang mungkin membawa kepada kerugian.

Katanya, kesukaran untuk mendapatkan bahan binaan pada harga berpatutan telah membebankan kontraktor untuk meneruskan operasi mereka.

"Kenaikan harga bahan binaan terutamanya besi sedikit sebanyak menjejeskan operasi kontraktor binaan.

"Kos bahan binaan meningkat sebanyak 30 peratus berikutan kenaikan harga minyak dan besi yang mendadak," katanya selepas merasmikan majlis pembukaan bangunan ibu pejabat MTD Capital Bhd., di sini hari ini.

Menurut Mohd Zin, kajian terperinci mengenai perkara berkenaan telah dilakukan Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementeriannya dan kertas kerja akan dibentangkan dalam masa seminggu lagi.

"Satu dasar baru akan diusulkan di Parlimen sekiranya kata putus dalam mesyuarat mendapati perlunya untuk menggubal dasar tersebut setelah kertas kerja dibentangkan.

"Ini bertujuan mengelakkan sebarang permasalahan seperti kelewatan menyiapkan projek yang boleh membawa kerugian kepada kerajaan, kontraktor dan juga orang awam," katanya.

Tambahanya, setiap kontraktor mempunyai tanggungjawab bagi memastikan setiap projek yang dijalankan berjala lancar.

"Saya tidak mahu ada sebarang projek yang gagal dilaksanakan kerana industri pembinaan negara ini sedang mengalami pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus," kata beliau.

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia