Plaza Tol Seremban ubah lokasi baru elak kesesakan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

Projek pembinaan dalam RMK-9 menelan belanja RM168j 

SEREMBAN: Kesesakan yang dihadapi pengguna di Plaza Tol Seremban akan diatasi apabila kerja memindahkannya ke tempat lebih strategik dilaksanakan dalam separuh penggal kedua Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim, berkata kos pembinaan plaza baru itu dianggarkan menelan belanja RM168 juta yang turut membabitkan pembinaan jalan sambungan dan pengambilan balik tanah. 

"Kerajaan belum memutuskan pihak mana yang akan menanggung kos pembinaan plaza tol baru berkenaan," katanya di sini semalam. 

Cadangan memindahkan Plaza Tol Seremban yang keluasannya terhad dan mampu memuatkan hanya beberapa kaunter pembayaran sudah lama diperkatakan tetapi hingga hari ini, kerja berkaitan masih belum dilaksanakan. 

Keadaan itu menyebabkan kesesakan di plaza tol berkenaan bertambah buruk, bukan saja pada hari minggu atau cuti kelepasan am, malah setiap hari tidak kira pagi atau petang. 

Ini disebabkan peningkatan penggunaan plaza tol berkenaan terutama mereka yang bekerja di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Lebih memburukkan keadaan pada hujung minggu atau cuti perayaan, kenderaan bersusun hingga ke lebuh raya dan ada kalanya tersekat antara empat hingga lima kilometer. 

Tinjauan Sentral mendapati, antara faktor utama yang menjadikan plaza tol itu sesak adalah kedudukannya yang terletak di tepi lebuh raya serta di laluan utama ke pusat bandar Seremban dan pusat beli-belah Jusco. 

Lorong kaunter tiket atau bayaran yang tidak mencukupi turut menyumbang kepada faktor kesesakan apabila arah menghala ke Kuala Lumpur dan Selatan, hanya dua lorong kaunter tiket termasuk `Touch n Go' atau `Smart Tag' disediakan. 

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senaling berkata, kerajaan negeri juga belum boleh menganggarkan keluasan tanah bagi pembinaan plaza baru itu kerana reka bentuk terperinci mengenainya belum disiapkan sepenuhnya. 

"Namun, kita beri jaminan pampasan kadar tanah yang perlu dibayar akan mengikut kadar semasa permohonan pengambilan balik tanah dikemukakan," katanya. 

Beliau yakin, apabila siap, pembinaan plaza tol baru itu akan dapat mengatasi masalah kesesakan seperti yang dialami Plaza Tol Nilai yang juga terletak di tepi lebuh raya sebelum ia dipindahkan ke kawasan lebih luas dan jauh ke dalam, tujuh tahun lalu. 

FAKTA: 

Punca Kesesakan Plaza Tol Seremban 

  Terletak di tepi lebuh raya. 

  Terletak di laluan utama Seremban, kawasan perumahan dan  Jusco. 

  Lorong kaunter tiket dan bayaran yang terhad. 

  Pertambahan bilangan pengguna kenderaan bekerja di Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian