SEMENYIH - Keselamatan penguna lebuh raya dan pengawalan dari pihak konsesi perlu dititikberatkan agar tidak mendatangkan sebarang masalah kepada semua pihak, maka pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) merupakan wadah terbaik.
Konsesi pengendalian Lebuhraya LEKAS bagi Lebuhraya Kajang-Seremban (LKS) telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM12 juta bagi pemasangan CCTV di sepanjang Lebuhraya LEKAS agar keselamatan semua pengguna terjamin dan setiap perkara dapat dirakamkan untuk sebarang kecemasan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Neoh Soon Hiong, pemasangan CCTV ini akan dilakukan pada setiap dua kilometer sepanjang lebuh raya berkenaan dan di setiap kawasan penukaran haluan malah mampu untuk memfokuskan setiap kenderaan yang melalui lebuh raya ini sehingga sejauh satu kilometer.
"Dengan adanya CCTV ini maka setiap laluan daripada pengguna dapat dirakam dan sekiranya berlaku sebarang kes jenayah juga turut ia dapat diputarkan semula untuk ulang tayang pengesahan.
"Segala rakaman ini akan terus disalurkan ke bilik kawalan trafik dimana pihak pengurusan di bilik tersebut dapat melihat segala kejadian melalui skrin yang berada di hadapan mereka," katanya ketika memberi penerangan di bilik kawlan trafik.
Tambahnya, selain daripada rakaman CCTV terdapat juga pengawalan trafik 24 jam daripada anggota patrol yang disediakan dan sehingga kini terdapat 12 anggota, di mana empat motosikal dan dua kereta perionda digunakan ketika Kerja-kerja rondaan dijalankan
"Jika pengguna menghadapi sebarang kesukaran boleh terus berhubung ke bahagian kecemasan dan peronda akan segera memberikan bantuan. Di samping memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penguna, rondaan yang dilakukan adalah bertujuan untuk mengelakan sebarang kegiatan jenayah yang berlaku di sepanjang lebuh raya ini," katanya.
Kepada pengguna lebuh raya ini tidak perlu berasa was-was dan sangsi terhadap tahap keselamatan kerana ia sentiasa berada dalam pemerhatian pihak berkenaan.