KUALA LUMPUR 29 Sept. - Kementerian Kerja Raya memberi jaminan semua kawasan pembinaan di lebuh raya yang dihentikan sementara waktu untuk melicinkan aliran trafik pada musim perayaan adalah selamat dan tidak akan mengancam keselamatan para pengguna.
Menterinya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, beliau juga telah mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) supaya memantau tahap keselamatan kawasan terbabit.
Katanya, pemegang konsesi diingatkan supaya membuat lencongan yang sempurna, meletakkan kon dan memasang pemantul cahaya di kawasan berkenaan.
"Arahan menghentikan pembinaan di semua lebuh raya buat sementara waktu adalah untuk membantu kelancaran trafik yang meningkat secara mendadak pada musim perayaan.
"Semua kerja ini akan disambung semula selepas Ops Sikap berakhir pada 6 Oktober ini," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Keselamatan Balik Kampung "Selamat Di Jalan" sempena Hari Raya Aidilfitri anjuran PLUS Expressway Berhad (PLUS) di Hentian Sebelah Sungai Besi di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Abdul Munit Kasmin; Pengerusi PLUS, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim dan Pengerusi LLM, Datuk Syed Jamal Syed Jaafar.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau merayu pengguna lebuh raya supaya mematuhi cadangan waktu perjalanan (TTA) yang diiklankan PLUS dalam media massa sebelum ini untuk menangani peningkatan mendadak jumlah pengguna yang balik kampung.
Katanya, melalui TTA, para pengguna ke destinasi tertentu akan bergerak secara berperingkat sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.
"TTA adalah cadangan waktu perjalanan dan ia merupakan perkara sukarela, kita tidak boleh memaksa pengguna mematuhinya.
"Perkara ini adalah untuk kebaikan dan keselesaan bersama namun terpulang kepada sikap kita," katanya.