Lekas bukan sekadar lebuh raya | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

SEMENYIH - Pembinaan Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) dilihat bukan sahaja memberi pilihan kepada pengguna tetapi juga mampu memberikan nikmat kepada penduduk di 10 buah kampung di sekitarnya.

Ini kerana Lekas selain memberikan manfaat kepada pengguna lalu lintas yang sentiasa ulang alik dari Kuala Lumpur ke Seremban tanpa `terperangkap? dalam kesesakan jalan raya.

Ia juga menjadi `batu loncatan' kepada proses pembangunan di kawasan itu seterusnya memudahkan pengguna sempena musim cuti perayaan seperti Aidilfitri ini.

Lagi pun, lambat laun ia memberi impak positif kepada kawasan di sekitarnya yang sebelum ini terbiar dan tidak membangun seperti kawasan lain bakal berubah wajah.

Difahamkan, lebuh raya yang bermula antara bandar Kajang dan Seremban itu akan memberikan pulangan yang berharga kepada penduduk di situ kerana ia akan menjadi platform utama kepada pembangunan.

Ketua Kampung Batu 3, Jalan Bangi, Othman Mohd Nor berkata, Lekas merupakan satu kemudahan kepada penduduk di situ.

"Apa tidaknya, sekiranya penduduk mahu keluar dari Kajang, kami terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas yang teruk dari simpang Semenyih ke Kuala Lumpur.

"Tetapi kini tidak lagi selepas Lekas dibuka," ujarnya ketika ditemui selepas taklimat bersama media penduduk di Plaza Tol Kajang Selatan dekat sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Othman menambah, lebuh raya yang sama menjadi laluan alternatif kepada pengguna lalu lintas lain yang ingin menghala ke ibu kota.

"Ini kerana, dengan adanya laluan alternatif ini, pengguna tidak perlu lagi menghabiskan masa selama satu jam untuk sampai ke destinasi, malah cukuplah dengan setengah jam sahaja," katanya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Kosmo