Plus diminta baiki kemudahan di R&R | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

Lebuh raya dijangka sesak sempena Aidilfitri 

SEPANG: Plus Expressways Bhd disaran memperbaiki kemudahan di semua kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya untuk memberi keselesaan kepada pengguna kemudahan itu sepanjang cuti Aidilfitri tidak lama lagi. 

Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata langkah itu perlu berikutan jangkaan lebuh raya akan mengalami kepadatan luar biasa pada musim perayaan kerana kebanyakan warga kota akan pulang ke kampung masing-masing. 

"Kawasan R&R akan sesak kerana pertambahan pengguna. Saya sudah mengarahkan Plus untuk memastikan semua kemudahan di R&R berada pada tahap terbaik untuk keselesaan pengguna. 

"Tambahan pula, tahun ini sambutan Aidilfitri dijangka lebih meriah kerana kerajaan membayar bonus kepada kakitangan pada akhir bulan ini dan lebih ramai mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung," katanya pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim, ibu tunggal, warga emas, golongan miskin, masjid dan surau seluruh daerah Sepang di Pangsapuri Rista Villa, di sini, semalam. 

Mohd Zin berkata, pihaknya juga akan memastikan semua lebuh raya berada pada tahap terbaik supaya tidak mengganggu perjalanan pengguna sepanjang tempoh berkenaan. 

Beliau turut mengarahkan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) memperbaiki jalan raya yang mengalami kerosakan akibat banjir di Kedah dan Pulau Pinang baru-baru ini. 

"Pada masa sama, kita turut mengarahkan supaya semua kerja pembinaan dan penambahbaikan jalan raya dan lebuh raya diberhentikan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, melainkan jika ada kecemasan seperti tanah runtuh," katanya. 

Bagi jalan negeri pula, Mohd Zin berkata, beliau sudah meminta Bahagian Penyelenggaraan Jalan Raya Malaysia untuk mengarahkan semua Jurutera Daerah memastikan peralatan yang mengawal lalu lintas seperti lampu isyarat berfungsi dengan baik. 

Selain itu, ditanya sama ada kementerian akan mengurangkan kadar had laju kebangsaan atau sebaliknya, beliau berkata: "Kami akan memikirkannya jika ada keperluan. Jika dikurangkan, saya akan umumkan dalam masa terdekat." 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian