KUALA LUMPUR 15 Okt. - Malaysia akan menjadi tuan rumah Pertandingan Kemahiran ASEAN Ke-7 yang buat pertama kalinya akan diadakan di Akademi Binaan Malaysia, Jalan Chan Sow Lin di sini bermula 14 hingga 16 November depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, pertandingan julung kali itu mengumpulkan 10 negara ASEAN membabitkan 386 peserta untuk menyertai 19 bidang kemahiran berasaskan industri pembinaan.
Menurutnya, antara kategori yang dipertandingkan ialah teknologi automotif, terapi kecantikan, terapan batu-bata, pembuatan kabinet, memasak, pemasangan sistem elektrik, teknologi rekaan grafik, elektronik industri dan aplikasi teknologi maklumat serta pengisiannya.
"Selain itu, kimpalan, rekaan web, kemasan lantai dan dinding, pemasangan paip, pembuatan pakaian wanita, perkhidmatan restoran dan mekatronik turut dipertandingkan," katanya.
Mohd. Zin berkata demikian selepas merasmikan Galeri Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini hari ini.
Mohd. Zin memberitahu, Malaysia turut menghantar 38 peserta, 24 pakar dan dua ketua pasukan untuk menyertai semua 19 acara berkenaan.
"Kita sasarkan 50,000 pengunjung yang kebanyakannya adalah murid sekolah. Sebagaimana yang kita sedia maklum, industri pembinaan negara adalah industri yang mustahak agar dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara," jelasnya.