Terowong Smart paling inovatif | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

STORMWATER Management And Road Tunnel (Smart) terpilih memenangi kategori Anugerah Antarabangsa dalam majlis Anugerah Industri Pembinaan British (BCIA) 2008 kerana kecemerlangan dalam inovasi pembinaan dan kejuruteraannya, baru-baru ini.

Gamuda Bhd dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam, menyatakan BCIA anugerah paling berpengaruh dan berprestij dalam industri berkenaan yang dianggap seperti anugerah 'Oscar' industri perfileman untuk pembinaan. 

Menurut kenyataan itu, kemenangan Smart berdasarkan penyelesaian kejuruteraan inovatif Smart menyelesaikan dua masalah yang sudah lama wujud di Kuala Lumpur, iaitu banjir di pusat bandar raya akibat limpahan air sungai dan kesesakan jalan raya di bahagian selatan Kuala Lumpur.

Smart, yang siap pada Jun 2007, dimulakan pembinaannya secara usaha sama antara MMC Corporation Bhd dan Gamuda Bhd di bawah penyeliaan kerajaan. Ia terowong dua fungsi pertama di dunia dan dipilih panel hakim kerana kejuruteraan inovatifnya membantu mengatasi masalah dihadapi Kuala Lumpur iaitu banjir dan kesesakan jalan raya.Terowong sepanjang 9.7 kilometer (km) itu dihasilkan menggunakan dua mesin pengorek bergerudi 13.2 meter garis pusat. 

Kejayaan memenuhi kriteria yang dikehendaki hakim iaitu aspek kejuruteraan, arkitek, reka bentuk pembinaan berkualiti, selamat dan inovatif.

Smart menewaskan empat projek antarabangsa lain iaitu Stesen Arean Bijlmer di Amsterdam, Gelanggan Krikiet Oval Kensington di Barbados, Menara Shin-Marunouchi di Jepun dan Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing T3 di China.

Untuk tahun ini, 180 projek di Britain dan antarabangsa dinilai hakim berdasarkan kecemerlangan arkitek dan kejuruteraannya.

Tarikh
Surat Khabar
Harian Metro