Tol Batu Tiga guna MLFF | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh satu jam, lebih 2,000 kenderaan dijangka dapat menggunakan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) di Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam, dekat sini, tanpa perlu memberhentikan kenderaan mereka dalam usaha menangani masalah kesesakan apabila ia mula dilaksanakan hujung bulan ini. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata MLFF amat berkesan kerana dalam tempoh satu jam, sebanyak 400 kenderaan dapat melalui kaunter pembayaran tunai, manakala Smart Tag pula sebanyak 1,000 kenderaan.

"Pengguna Plaza Tol Batu Tiga tidak perlu risau kerana pihak konsesi tol masih mengekalkan sistem bayaran tunai, Touch N" Go serta Smart Tag. Sebuah lorong baru dibina bagi tujuan MLFF di plaza tol berkenaan.

"Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan kerjasama Plus Expressways Bhd (Plus) sudah membuat kajian berhubung penggunaan MLFF," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar pertama mengenai Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) di sini, semalam.

Beliau berkata, melalui sistem baru itu, pengguna lebuh raya hanya perlu menggunakan kad tol prabayar dan memandu melintasi palang pengimbas tanpa perlu memperlahankan atau menghentikan kenderaan mereka.

"Sistem ini masih dalam cubaan dan kita akan memasang palang serta papan tanda supaya pengguna dapat memperlahankan kenderaan sebelum melepasi tol itu.

"Sebab utama kita pasang palang pada MLFF di plaza tol itu kerana kita tidak mahu kenderaan melepasi tol tanpa membayar. Sistem ini pun masih baru dan di peringkat kajian lagi," katanya.

Mohd Zin berkata, buat permulaan, MLFF dilaksanakan dalam tempoh setahun bagi membolehkan kajian membabitkan pelbagai aspek termasuk kelebihan dan kelemahan sistem yang diguna pakai serta implikasi undang-undang jika pemandu melanggar peraturan jalan raya.

"Jika dengan sistem sedia ada, pengguna yang melanggar peraturan boleh dikesan menggunakan kamera litar yang dipasang pada plaza tol... tetapi dengan sistem baru ini, kita tidak tahu lagi.

"Kita perlu melakukan pelbagai kajian termasuk melihat dari segi aspek undang-undang sebelum memperluaskan MLFF ke plaza tol yang lain di seluruh negara," katanya.

"Sistem ini dilaksanakan untuk mengurangkan masalah kesesakan di lebuh raya terutama pada waktu puncak," katanya.

Beliau berkata, sekiranya MLFF itu berkesan, ia dilaksanakan di semua lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan dalam bandar di negara ini.

"Buat masa ini, bagi mengatasi masalah kesesakan di lebuh raya, biasanya kerajaan akan membina laluan tambahan atau lebuh raya baru, tetapi jika MLFF ini berkesan, kita akan perluaskan di plaza tol lain. 

"Ini disebabkan kelebihan teknologi baru gantri yang dipasang di laluan itu akan diangkat tinggi bagi membolehkan pemandu memandu pada kelajuan yang sama, misalnya antara 80 hingga 100 kilometer sejam walaupun ketika melalui plaza tol," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Mohammad Razali Othman berkata pihak konsesi tol mengedarkan kira-kira 1,000 kad tol prabayar MLFF kepada pengguna plaza tol itu

Tarikh
Surat Khabar
Harian Metro