Batu Tiga perintis tol gantri akhir bulan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong kurangkan kesesakan 

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menjadikan Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam sebagai perintis kepada sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang dikenali sebagai sistem tol gantri untuk setahun bermula akhir bulan ini. 

Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata melalui MLFF kesesakan teruk di plaza tol pada waktu puncak dapat dikurangkan kerana 2,000 kenderaan mampu melaluinya dalam sejam tanpa perlu memberhentikan kenderaan mereka. 

Katanya, berbanding sistem sedia ada, hanya 400 kenderaan dapat melalui kaunter pembayaran tunai sejam, manakala Smart Tag pula 1,000 kenderaan. 

"Pengguna Plaza Tol Batu Tiga tidak perlu risau kerana pihak konsesi tol masih mengekalkan sistem bayaran tunai, Touch n' Go serta Smart Tag. 

"Sebuah lorong baru akan dibina bagi tujuan MLFF di plaza tol berkenaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar pertama Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) di sini semalam. 

Sistem MLFF digunakan secara meluas di Eropah, Amerika Syarikat, Australia, Kanada serta Singapura menggunakan pengimbas laser untuk mengenal pasti kelas kenderaan sebelum bayaran ditolak daripada kad tol prabayar. 

Melalui sistem itu, pengguna lebuh raya hanya perlu menggunakan kad tol prabayar dan memandu melintasi palang pengimbas tanpa perlu memperlahankan atau menghentikan kenderaan. 

Bagaimanapun, Mohd Zin berkata, pada sistem MLFF yang akan dilaksanakan di Plaza Tol Batu Tiga, pihak konsesi akan memasang penghalang dan pengguna perlu memperlahankan kenderaan mereka. 

"Kita sedang mencuba sistem ini maka kita akan memasang palang dan papan tanda supaya pengguna dapat memperlahankan kenderaan sebelum melepasi tol berkenaan. 

"Sebab utama kita pasang palang pada MLFF di plaza tol berkenaan kerana tidak mahu kenderaan melepasi tol tanpa membayar. 

"Sistem ini pun masih baru dan di peringkat kajian. Kita perlu melakukan pelbagai kajian termasuk melihat aspek undang-undang sebelum memperluaskan MLFF ke plaza tol lain seluruh negara," katanya. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Mohammad Razali Othman, berkata pihak konsesi tol akan mengedarkan kira-kira 1,000 kad tol prabayar MLFF kepada pengguna yang sering menggunakan plaza tol itu. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian