Kementerian utama sistem pasang siap | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerjaraya menggalakkan semula pendekatan pembinaan berasaskan Sistem Binaan Industri (IBS) sekali gus mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing kepada hanya 15 peratus tahun depan. 

Menterinya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed, berkata ini akan dilakukan dengan menguatkuasakan penggunaan sistem berkenaan atau dikenali juga sebagai sistem pembinaan pasang siap dalam pelaksanaan semua projek kendalian Jabatan Kerja Raya bernilai RM6.9 bilion. 

"IBS sudah lama diperkenalkan di negara ini, malah pendekatan ini digunakan sepenuhnya di sebahagian negara maju. 

"Di Malaysia pendekatan ini tidak mendapat pasaran dan sambutan meluas syarikat binaan. Justeru, mulai sekarang kementerian akan menggerakkan semula pendekatan berkenaan dengan memberi tumpuan kepada projek kerajaan," katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Beliau berkata, penggunaan IBS sepenuhnya pasti mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing yang kini merangkumi 75 peratus daripada 315,000 tenaga kerja dalam sektor berkenaan. 

Katanya, pengurangan bilangan pekerja asing akan mengurangkan aliran keluar wang negara oleh pekerja asing ke negara masing-masing. 

Hingga Jun lalu, jumlah aliran dana keluar negara membabitkan pekerja asing dianggarkan RM10 bilion dan hingga akhir tahun ini, bilangannya dijangka mencecah RM18.1 bilion. 

Mohd Zin berkata, kaedah IBS juga akan menjimatkan kos kontraktor kerana rumah yang dibina menerusi kaedah itu boleh dijual pada harga lebih rendah. 

Bagi membantu semua pihak melaksanakan IBS, Kementerian Kerjaraya sudah menubuhkan Sekretariat IBS Kebangsaan yang berperanan menyelaras serta memantau pelaksanaan sistem itu. 

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) juga sudah membangunkan Pusat IBS sebagai pusat rujukan setempat oleh semua pihak bagi merancang, mereka bentuk, mengeluar, melatih, mengeluarkan pensijilan dan penggunaan teknologi maklumat berkaitan syarikat IBS. 

Pusat IBS itu juga menyediakan kemudahan seperti bilik latihan, galeri, dewan pameran, makmal pengujian, perkampungan IBS dan inkubator yang menawarkan ruang pejabat kecil kepada mana-mana individu atau syarikat yang memulakan perniagaan yang menawarkan perkhidmatan atau jualan berkaitan IBS. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian