PLUS Expressway Berhad (PLUS) kini memberi lebih banyak peluang kepada kontraktor Bumiputera Kelas F dan Gred G1 untuk menceburi industri pembinaan menerusi agihan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada nilai yang diberikan kepada projek kontraktor utama.
Pengarah Urusannya Noorizah Abd Hamid berkata, peluang itu diberikan menerusi Program Mentor-Mentee yang menawarkan skop kerja awam, mekanikal dan elektrikal serta kerja-kerja menaik taraf dan pembaikan lebuh raya.
"Jika dilihat pada projek PLUS untuk membaik pulih, penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan di sepanjang lebuh raya, kami memperuntukkan sebanyak RM400 juta secara purata pada setiap tahun.
"Justeru, agihan akan diberikan sekurang-kurangnya RM40 juta kepada kontraktor kelas F untuk mengendalikan projek berkenaan secara sub," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Program Mentor-Mentee di Subang Jaya, semalam.
Berdasarkan statistik Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB), jumlah kontraktor yang aktif di seluruh Negara bagi kedua kelas itu kini mencatatkan seramai 17,000 orang.
Secara tidak langsung, prongram Mentor-Mentee PLUS membantu usaha kerajaan untuk memperkembangkan kemampuan kontraktor Bumiputera Kelas F dan Gred F1 supaya lebih mahir melakukan kerja dalam pelbagai bidang berdasarkan pengkhususan masing-masign.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed yang turut dihadiri Pengerusi PLUS, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Ketua Pegawai Operasinya, Nik Airina Nik Jaffar.
Dalam pada itu, Plus turut melancarkan logo korporat baru dimana warna hijau sebagai warna korporat dan nama PluS yang dikekalkan bersesuaian dengan perkhidmatan lebuh raya di negara ini sejak 20 tahun.
PLUS akan muncul sebagai entiti yang lebih dinamik, progresif dan kompetitif terutama dalam menyediakan perkhidmatan lebuh raya terbaik yang bukan sahaja di Negara ini, tetapi di rantau Asia dan dunia pada masa akan dating.
"Logo baru adalah berbeza berbanding syarikat yang menyediakan perkhidmatan lebuh raya dunia dan perubahan itu sejajar dengan perkembangan PLUS ke peringkat global yang kini menembusi pasaran India dan Indonesia," katanya.
PLUS mempunyi dua kosesi di Indonesia iaitu lebuh raya baru sepanjang 116 kilometer, Java Expressway, manakala projek lebuh raya yang menunggu proses akhir menerusi pelan perniagaan dijangkakan memulakan pembinaan pada suku pertama tahun depan.
Sementara itu, Projek lebuh raya di Mumbai, India sepanjang 26 kilometer hanya berskala kecil memandangkan ia merupakan perinkat permulaan untuk mengenal negara itu dari pelbagai aspek sebelum membuat pelaburan yang lebih besar.
"Bagaimanapun, PLUS kini menghantar beberapa permintaan untuk kertas cadangan (RFP) bagi mendapatkan beberapa projek konsesi lebuh raya di India dan sedang menunggu proses penilaian dan pengumuman keputusan," katanya.