KUALA LUMPUR 15 NOV. Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) Ke-7 bukan sahaja menyaksikan penyertaan istimewa, malah berupaya mempamirkan skil kemahiran yang tinggi di kalangan peserta
Antara gambaran yang dapat diberikan terhadap ASC ini ialah menyaksikan seorang peserta Mohd. Ikrawmy Omar, 17 yang kelihatan khusyuk membuat pengaturcaraan dengan sebuah komputer riba.rakannya Lim Kok Hong, 17 pula memasukkan arahan kepada komputer agar ia melakukan tugasan yang diminta.
Berpandukan kertas teknikal yang diberikan, mereka dikehendaki menggerakkan tangan robotik agar mengalihkan objek-objek silinder dari satu tempat ke tempat yang lain. Sejurus input dimasukkan, tangan robotik itu berfungsi seperti ' tangan manusia' melaksanakan tugasan yang diamanahkan.
Dua peserta terbabit, sebenarnya adalah wakil Malaysia dalam ASC Ke-7 bagi kategori Mekatronik.
Mereka akan berentap selama tiga hari dengan 10 peserta lain termasuk dari Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Menurut jurulatih mereka, Fauzi Ahmad, pergerakan secara, robotik itu adalah mirip 'Modular Production System yang diamalkan di bahagian pengeluaran kilang-kilang.
"Semua peserta akan diuji dari pelbagai aspek seperti perkakasan, pemasangan wayar dan kelancaran pengaturcaraa sistem itu,'katanya kepadaa Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Ikrawny berkata, pertandingan itu mudah jika peserta diberi masa mencukupi untuk melaksanakan arahan yang ditetapkan juri hakim.
"Mereka memberi arahan pengaturcaraan pada saat-saat terakhir dan kita menghadapi kesukaran," kata pelajar diploma Mechatronic dari Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Shah Alam.ASC Ke-7 berlangsung di Akademi Binaan Malaysia, Jalan Chan Sow Lin sehingga 19 November ini.
Dalam pada itu seorang peserta kategori penurapan bata dari Thailand, Thanakorn Thanawimat, 17 berkata, dia akan memanfaatkan ilmu yang diperolehi melalui kursus pembinaan bangunan dalam pertandingan ini.
Sementara itu, peserta Indonesia untuk terapi kecantikan, Lilis Qamariah, 20 berkata, dia telah membuat persediaan rapi sejak setahun lalu, dengan berlatih di pusat kecantikan Mustika Ratu untuk memberikan saingan kepda peserta-peserta lain.
Kira-kira 600 pegawai dan peserta dari semua negara anggota ASEAN menghadiri pertandingan yang melibatkan 19 kategori, antaranya teknologi kereta, pembuatan kabinet, aplikasi perisian teknologi komputer, pemasangan paip dan perkhidmatan restoran.