JKR anjur kempen keselamatan cerun | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR Dalam usaha menyedarkan orang ramai tentang keselamatan dan kaedah berdepan serta pengendalian semasa kejadian tanah runtuh, Jabatan Kerja Raya (JKR) menganjurkan satu kempen dinamakan 'Cerun Yang Selamat, Menyelamatkan Nyawa'.

Pengarah Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR, Datuk Ir. Dr. Ashaari Mohamad berkata, kempen itu dilaksanakan selepas menyedari pertambahan kes tanah runtuh terutamanya di sekitar kawasan bukit.

"Melalui kempen ini, kami menyasarkan agensi-agensi kerajaan dan pihak yang berkenaan dapat mempertingkatkan pengetahuan serta memahami garis panduan dalam usaha mengurangkan bencana tanah runtuh. 

"Kami juga berharap ia dapat menyedarkan orang ramai mengenai cara pengendalian tanah runtuh termasuk cara mengesan tanda-tanda tanah runtuh,'' katanya dalam kenyataan di sini.

Kempen

Kempen tersebut dilancarkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed yang diwakili timbalannya, Datuk Yong Khoon Seng dalam Persidangan Cerun Antarabangsa yang diadakan baru-baru ini.

Menurut Ashaari, kempen itu akan diadakan dalam dua peringkat dan dalam fasa pertama, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menyebarkan pengetahuan tentang tanah runtuh kepada penduduk tempatan.

"Pelbagai usaha telah diadakan untuk menjayakan kempen ini. Antaranya seminar berkenaan perkembangan garis panduan dan teknik pemeliharaan, program meningkatkan kesedaran pelajar dan guru sekolah, pengagihan poster dan sesi dialog bersama penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi.

"Kami berharap matlamat untuk menyedarkan orang ramai dapat dicapai melalui kerjasama daripada pelbagai pihak,'' tambahnya.

Sementara itu, katanya, seminar selama dua minggu yang telah diadakan di Cameron Highlands dan Kota Kinabalu baru-baru ini mencapai permulaan yang memuaskan dengan penyertaan kira-kira 200 orang pegawai dari agensi-agensi kerajaan.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia