Diskaun 10 peratus keputusan terbaik | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 20 Nov- Projek Lebuhraya Utara-Selatan Expressway Berhad (PLUS) mengakui pemberian diskaun sebanyak 10 peratus kepada pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan dan Elite dari tengah malam hingga 7 pagi bermula Januari tahun depan adalah kadar terbaik yang boleh diberikan ketika ini.

Pengurus besar Komunikasi Korporatnya, Khalilah Talha berkata,  keputusan pemberian diskaun itu berdasarkan perbincangan mendalam dengan semua pihak termasuk kerajaan dan pemegang saham PLUS.

"Ia merupakan sebahagian tanggungjawab sosial yang kami dapat berikan kepada pengguna dalam  menghadapi kemelesetan ekonomi buat masa sekarang.

"Keputusan pemberian diskaun itu tidak akan berubah kerana ia telah dipersetujui oleh kerajaan,? katanya ketika dihubungi oleh utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas perkara berkenaan selepas desakan serta rungutan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik supaya diskaun itu tidak diberi bersyarat kepada  orang ramai.

Mereka bimbang pemberian diskaun mengikut masa tertentu itu boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya dan kes jenayah seperti  samun dan rogol.

Khalilah turut menyatakan rasa kesal dan sedihnya kerana pemberian diskaun itu seolah-olah tidak dihargai oleh orang ramai.

"Kalau diikutkan pemberian diskaun itu merupakan pertama kali diberikan kepada pengguna lebuh raya di Malaysia, jadi mengapa ia disambut penuh negetif oleh kebanyakan pihak," katanya.

Beliau turut menafikan peningkatan kes kemalangan boleh berlaku kerana Lebuh Raya  Utara Selatan telah direka untuk penggunaan 24 jam

"Mereka yang ingin berjalan di waktu malam, sebaik-baiknya merancang perjalanan terlebih dahulu kerana risiko kemalangan boleh  berlaku tidak kira masa.

"Kami juga mempunyai PLUS Ronda dan polis trafik yang akan selalu mengawal tidak kira masa bagi mengawal kegiatan jenayah." katanya

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia