Dokumen perjanjian konsesi lebuh raya boleh didapati umum mulai 1 Januari | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR - Kesemua 22 syarikat konsesi lebuh raya di seluruh Negara kecuali Maju Expressway, yang mengendalikan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya, bersatu untuk mendeklasifikasikan perjanjian konsesi lebuhraya antara kerajaan dengan syarikat terbabit kepada umum.

Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed berkata, dokumen perjanjian tersebut boleh didapati mulai 1 Januari depan.

Katanya, keputusan mendeklasifikasikan dokumen perjanjian tersebut dicapai berikutan persetujuan Kabinet pada mesyuarat 17 Oktober lepas terhadap memorandum Kementerian itu yang bertajuk "Pengelasan Semula Semua perjanjian Konsesi lebuh raya Yang Sedang Beroperasi Supaya dapat didedahkan Kepada Umum".

"Kabinet bersetuju supaya perjanjian konsesi lebuh raya yang sedang beroperasi dikelaskan semula selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 selepas mendapat persetujuan daripada syarikat konsesi sejajar dengan peruntukan klausa kerahsiaan yang termaktub dalam perjanjian terbabit," katanya pada siding akhbar di sini, semalam.

Keputusan kerajaan untuk mendeklasifikasikan perjanjian tersebut adalah berikutan banyak pihak yang mendakwa perjanjian itu berat sebelah yang lebih menguntungkan pemegang konsesi tol.

Dengan mendeklasifikasikan dokumen tersebut, orang ramai akan dapat meneliti semua aspek operasi syarikat konsesi lebuh raya termasuk aliran kewangan syarikat terbabit.

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian