Jambatan ke Bukit Mewah 2 siap | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menyiapkan jambatan kekal sepanjang 250 meter merentasi longkang besar dari Jalan Bukit Antarabangsa ke Jalan Bukit Mewah 2 bagi memudahkan penduduk keluar masuk ke kawasan itu. 

Panglima 11 Briged Kem Sungai Buloh, Brig-Jen Datuk Azman Rosli, berkata jambatan itu akan menjadi jalan utama kepada penduduk di kawasan yang terjejas akibat tanah runtuh berkenaan. 

"Jambatan kekal JKR itu disiapkan pada jam 3.30 pagi tadi (semalam) dan boleh digunakan untuk kenderaan keluar masuk. 

"Berikutan itu juga kita sudah membuka jambatan taktikal ATM pada jam 2 petang tadi (semalam)," katanya kepada pemberita di lokasi pembinaan jambatan kekal itu semalam. 

Minggu lalu, jambatan kekal itu dicadang dibina bersebelahan jambatan sementara (taktikal) yang dibina, Ahad minggu lalu, tetapi terpaksa dialihkan berhampiran pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana bantahan penduduk Pangsapuri Riverdale Park yang mendakwa ia mengganggu kehidupan seharian mereka. 

Sementara itu, Azman berkata, laluan alternatif yang menghubungkan Taman Bukit Mewah ke lokasi kejadian tanah runtuh juga sudah siap dibina oleh tentera dengan kerjasama JKR pada jam 4.30 pagi tadi (semalam) dan sudah boleh digunakan. 

Mengulas sama ada ATM akan terus kekal di kawasan operasi, Azman berkata, tentera mengambil keputusan untuk mengekalkan sebahagian anggotanya di lokasi kejadian tanah runtuh bagi menghadapi sebarang kemungkinan. 

"Kumpulan itu akan berada di lokasi untuk tempoh dua hingga tiga hari dan sekiranya tentera diperlukan, kita akan berbincang dan membantu pihak yang memerlukan," katanya. 

 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian