CIDB sedia kepakaran IBS | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

JALAN CHAN SOW LIN-  Bagi mengurangkan tenaga kerja asing dalam industri binaan kerajaan meluluskan peruntukkan sebanyak RM 9.2 bilion bagi 404 projek menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Sehubungan itu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) merangka pelbagai kursus kepada pihak kontraktor mempelajari teknologi IBS ini dengan kerjasama Pusat Khidmat Kontraktor Malaysia (PKK) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM)

Menurut Tenaga Pengajar Kursus IBS yang dilantik ABM, Rashidi Ramle, penganjuran kursus kali ini  terbuka kepada kontraktor kelas D,E dan F yang berlangsung selama lima hari dengan bayaran pendaftaran minima.

Rashidi berkata, ini merupakan kali ketujuh penganjuran kursus IBS di seluruh negara dan kali kedua diadakan di Wilayah Persekutuan yang mengharapkan lebih banyak penyertaan daripada pihak kontraktor di luar sana.

"Pada sesi kedua penganjuran kursus IBS kali ini, seramai 28 peserta telah menyertainya yang terdiri daripada peserta lelaki dan wanita.

"Peserta akan diberikan penerangan dengan bantuan modul-modul yang dihasilkan CIDB Malaysia, disamping itu juga peserta turut didedahkan dengan latihan  pemasangan di tapak yang disediakan," katanya ketika ditemui di ABM Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata, peserta perlu menjalani ujian kertas penilaian bagi menguji pengetahuan mereka dalam memastikan peserta kursus  benar-benar faham dan mengikuti sepenuhnya program yang disediakan sepanjang kursus tersebut berlangsung.

"Peserta yang lulus akan  menerima sijil dan seterusnya mendapat penambahan ' bidang kerja  pada lesen mereka,"   

Sementara itu pengerusi Persatuan Kontraktor Wilayah Persekutuan, Datuk Mokhtar Amad ketika dihubungi menyarankan agar lebih ramai lagi kontraktor di luar sana menyertai kursus IBS ini.

Menurutnya, kursus ini bukan sahaja memberikan ilmu yang berguna kepada kontraktor,malah penglibatan ini sejajar dengan seruan kerajaan kepada pihak kontraktor untuk menggunkan 70 peratus teknologi IBS dalam setiap projek mereka.

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian