MELAKA- Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM 3.2 bilion lagi, khusus bagi melaksanakan projek pembangunan kawasan jalan raya Zon Selatan membabitkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor bagi tempoh kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)
Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata tambahan peruntukan diluluskan itu bagi kerja pembinaan sistem penyuraian trafik dalam Bandaraya Melaka Bersejarah, Jalan Lingkaran Tengah Seremban di Negeri Sembilan dan menaik taraf Jalan Tangkak-Segamat di Johor.
Katanya, kos bagi pelaksanaan projek sistem penyuraian trafik dalam Bandaraya Melaka Bersejarah masih belum ditetapkan kerana dalam peringkat permulaan kajian, manakala RM 85 juta bagi pembinaan jalan Lingkaran Tengah Seremban dan RM 220 juta untuk menaik taraf Jalan Tangkak-Segamat.
"Bagi projek di Melaka, peruntukan tambahan ini diberi kerana kajian kementerian mendapati rangkaian jalan raya di situ memerlukan satu system penyuraian trafik bagi memudahkan perjalanan pengguna memasuki pusat tumpuan pelancong di pusat Bandar.
"Tempoh kesesakan jalan raya bermula di Plaza Tol Ayer Keroh menuju ke pusat Bandar pada waktu tertentu adakalanya melebihi sejam., Jadi, kerajaan negeri menyuarakan cadangan untuk mengatasi masalah itu.
Kajian ini bagaimanapun dijangka mengambil masa sehingga setahun kerana membabitkan banyak laluan di pusat Bandar yang kebanyakannya dipenuhi bangunan," katanya selepas mengadakan majlis penerangan mengenai pelaksanaan syarat perubahan hara dalam kontrak kerja (VOP) dan sistem binaan industri (IBS) kepada kontraktor Zon Selatan di sini semalam.
Mengulas lanjut Mohd Zin berkata, peruntukan sebanyak RM 220 juta yang diluluskan bagi menaik taraf Jalan Tangkak- Segamat untuk melaksanakan pembinaan empat lorong di laluan membabitkan jarak sejauh kira-kira 60 kilometer.
"Projek ini akan mewujudkan satu koridor baru di kawasan Johor Utara selain melancarkan sistem pengangkutan dari kawasan pantai ke bahagian tengah negeri itu," katanya.
Dalam RMK-9, Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM 19.57 billion bagi projek pembangunan jalan raya untuk kawasan Zon Selatan.