188 rumah selamat diduduki | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

PETALING JAYA-Sebanyak 188 unit kediaman di lima kawasan kediaman yang diberi tanda merah selepas tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa dan diarah berpindah disahkan selamat diduduki.

Bagaimanapun, beberapa lagi kawasan sekitar memerlukan penilaian mengenai tahap keselamatannya

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) yang melakukan kajian keselamatan membenarkan antara 400 hingga 500 penduduk di lima kawasan kediaman itu memasuki kediaman rumah mereka pada bila-bila masa.

Kawasan kediaman terbabit ialah Jalan Bukit Antarabangsa (Lima unit), Jalan Bukit Mewah (30 unit), Jalan wangsa 11 (38 unit), Kondominium Impian Selatan (81 unit) dan Jalan BJ 6A Taman Bukit Jaya (enam unit)

"Ia hasil kajian 10 hari JKR dan CKK bermula 8 Disember lalu untuk membuat penilaian geoteknik kestabilan cerun dan integriti struktur bangunan dikawasan merah yang dinyatakan itu, katanya ketika mengumumkan laporan keselamatan kawasan tanah runtuh dekat sini semalam.

Khalid berkata, laporan itu, yang diterima kelmarin, diumumkan selepas mengadakan perbincangan dan persetujuan daripada Jawatankuasa Teknikal Tanah Runtuh JKR, Jabatan Mineral,Jabatan Meterologi, Institut Kerja Raya Malaysia (IKram), Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan persatuan penduduk.

Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember lalu, mengakibatkan 14 banglo Taman Bukit Mewah ranap dan empat maut.

Khalid yang juga ketua Operasi Bencana Alam di kawasan tragedi berkata ada beberapa kawasan yang masih bertanda merah yang penghuninya tidak dibenarkan pulang untuk tempoh sebulan daripada tarikh ini.

Kawasan terbabit adalah Kondominium Impian Selatan: Blok B1, Jalan BJ 6A Taman Bukit Jaya (tiga unit), Jalan WAngsa 11 (tiga unit)

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak kisah Ketua Polis Negeri, Datuk Khalid Abu Bakar mendahuluinya dalam membuat pengumuman mengenai laporan keselamatan kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa.    

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian