Jalan utama dibina semula sebelum 4 Januari | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

HULU KLANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) menjangkakan jalan utama ke kawasan terputus hubungan berikutan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, dekat sini, dapat dibersihkan dan dibina semula sebelum 4 Januari depan. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim, berkata kerja mengalihkan tanah yang menimbus Jalan Bukit Antarabangsa itu akan dilakukan tanpa henti bermula kelmarin. 

"Keutamaan kita kini ialah membuka semula jalan utama itu secepat mungkin supaya kehidupan kira-kira 5,000 penduduk kawasan berhampiran yang terjejas kembali pulih," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam. 

Katanya, JKR sebelum ini menjangkakan kerja berkenaan selesai dalam tiga minggu namun ia kini dijangka siap lebih cepat berikutan keadaan cuaca yang semakin baik. 

Menurutnya, kerja baik pulih dilakukan dengan sangat berhati-hati dan berpandukan kajian rapi bagi mengelakkan risiko tanah itu runtuh berulang. 

"Kita akan memotong cerun di sebelah jalan itu menjadikannya landai dan menambah tebing batu bagi mengukuhkan lagi cerun berkenaan selain mengurangkan hakisan," katanya. 

Menurutnya, JKR akan turut membersihkan longkang besar yang tersekat dalam kejadian itu yang kini menyebabkan air mengalir ke arah cerun di tepi Kondominium Impian Selatan yang boleh menyebabkan ketidakstabilan tanah kawasan berkenaan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, berkata belum ada pemilik 14 banglo yang musnah datang mencari barang berharga tertimbus dalam tanah.

Abdul Jalil menasihati penduduk berbuat demikian dengan segera sebelum jam 7 malam setiap hari. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Harian Metro