BUKIT ANTARABANGSA - Jalan Bukit Antarabangsa akan dibuka semula secepat mungkin kepada awam seperti keadaan sebelum kejadian tanah runtuh, dapat dipercepatkan dan dijangka siap sebelum sesi persekolahan dibuka awal tahun depan.
Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Sri Prof Ir Judin Abd Karim berkata, JKR dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bersetuju dan pemantauan yang dibuat JKR mendapati pergerakan tanah runtuh adalah minimum.
"Analisa terperinci dijalankan untuk menentukan keselamatan potongan yang dibuat ke atas tanah runtuh itu kerana masih berisiko tinggi jika dikorek sewenang-wenangnya.
"Cerun akan dipotong secara landai dan di sebelah arah cerun asal akan diletakkan 'rock butterss' untuk memperkuatkan cerun serta mengurangkan hakisan hasil daripada potongan yang dibuat," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Menurut Judin, permukaan Jalan Bukit Antarabangsa yang berkemungkinan besar telah rosak perlu dibaiki semula setelah kerja tanah selesai.
"Kerja pemotongan tanah dijalankan Selasa lalu melibatkan penggunaan beberapa jengkaut serta sebilangan lori untuk mengangkut tanah dari kawasan runtuhan ke tempat pembuangan," katanya.
Beliau berkata, longkang besar juga dibersihkan untuk membenarkan laluan air yang tersekat dan boleh menyebabkan ketidakstabilan kerana pada masa ini laluan air tersebut menuju ke arah cerun di tepi Kondominium Impian Selatan.
Sementara itu, JKR akan mengambil tindakan segera mengeringkan takungan air di tengah runtuhan bagi membolehkan Jalan Bukit Antarabangsa dibuka semula kepada lalu lintas.