KUALA LUMPUR: Pegawai Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) sudah melakukan analisis secara mata kasar di lokasi berlakunya pergerakan tanah di lereng bukit Jalan Setiabistari, Bukit Damansara di sini, petang semalam.
Empat pegawai Ikram dilihat tiba di kawasan berdekatan kediaman elit berkenaan jam 2.30 petang semalam.
Jurucakapnya ketika ditanya mengenai lawatan itu berkata, kajian mendalam mengenai tahap bahaya kecerunan di bukit kepada penduduk rumah berhampiran akan dijalankan minggu ini selepas analisis secara mata kasar semalam.
"Selepas ini Ikram akan membuat susulan menggunakan peralatan tertentu dan kaedah sesuai bagi membuat jangkaan kegagalan cerun bukit itu sama ada selamat atau sebaliknya.
"Bagaimanapun, setakat ini butiran lanjut mengenai pergerakan tanah di sini belum dapat didedahkan," katanya.
Tinjauan Harian Metro semalam mendapati kawasan lereng bukit yang berlaku pergerakan tanah tidak jauh dari dua tangki air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) itu sudah ditutup dengan plastik kanvas.
Kapasiti penuh sebuah tangki air Syabas di taman perumahan itu sebanyak 200,000 liter padu.
Beberapa anggota Unit Penyelamat Bahagian Krisis dan Bencana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut dilihat memantau tempat kejadian kerana sebatang pokok tumbang akibat pergerakan tanah berkenaan.
Dua pos sementara menempatkan masing-masing anggota unit itu dan anggota polis didirikan di jalan masuk ke kediaman elit berkenaan, difahamkan bertugas 24 jam sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku sebarang kejadian lebih serius.