Laporan keselamatan Bukit Antarabangsa siap 3 bulan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

Jawatankuasa Kumpulan Tanah Runtuh guna teknologi terkini 

KUALA LUMPUR: Laporan penuh mengenai tahap keselamatan di kawasan tanah runtuh sekitar Bukit Antarabangsa akan diketahui dalam tempoh tiga bulan, manakala laporan awal akan dikeluarkan dalam tempoh sebulan. 

Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata laporan itu akan disediakan oleh Jawatankuasa Kumpulan Tanah Runtuh yang dianggotai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem); Jabatan Parit dan Saliran (JPS); Jabatan Meteorologi; Jabatan Mineral dan Geosains; Jabatan Alam Sekitar (JAS); Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan tiga pakar luar. 

Katanya, jawatankuasa itu akan diketuai Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) yang dianggotai oleh 30 orang. 

"Ketika ini anggota CKC sedang memantau pergerakan tanah di kawasan itu dan kita tidak mahu berkompromi soal keselamatan dan nyawa dengan mengambil mudah perkara ini. 

"Pemantauan awal menunjukkan kejadian tanah runtuh itu membabitkan 120,000 meter padu tanah atau bersamaan dengan 20,000 muatan lori yang mengangkut tanah," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas meninjau dan mendengar taklimat daripada JKR mengenai tahap keselamatan kawasan sekitar tragedi itu. 

Dalam kejadian minggu lalu itu, empat mangsa terkorban dan 14 banglo di Taman Bukit Mewah, di Bukit Antarabangsa ranap dalam kejadian tanah runtuh. 

Mohd Zin berkata, kerja pembersihan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di kawasan itu dihentikan Khamis lalu turut berdepan kesukaran selepas pihaknya mengesan adanya takungan air di bawah tanah. 

"Siasatan awal mendapati adanya takungan air pada cerun yang runtuh, berpunca daripada hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu. "Bagaimanapun, kerja pembersihan tetap dilakukan bermula esok (hari ini) dan ia dijangka siap dalam tempoh sebulan dan dalam tempoh itu kita akan menyerahkan laporan awal," katanya. 

Sementara itu, beliau berkata, penghuni lima kawasan perumahan yang diarah pindah serta-merta berikutan kejadian tanah runtuh itu akan mengetahui sama ada rumah mereka masih selamat diduduki atau tidak Khamis depan. 

"Penghuni kawasan perumahan di Taman Impian Selatan, Taman Bukit Jaya Jalan 6A, Taman Bukit Mewah, Taman Wangsa Ukay Jalan 9 dan Jalan 11 akan mengetahui status keselamatan rumah masing-masing selepas CKC selesai menjalankan siasatan," katanya. 

Beliau meminta semua pihak supaya menghentikan spekulasi atau andaian mengenai tahap keselamatan cerun di sekitar kawasan Bukit Antarabangsa. 

Katanya jawatankuasa yang ditubuhkan menggunakan teknologi terkini seperti alat pemantau rekahan, meter dan alat pengesan pergerakan tanah bagi memantau situasi di Bukit Antarabangsa. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian