Tol: Syor benarkan dapat salinan perjanjian diteliti | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji cadangan untuk membenarkan pihak ketiga bagi mendapatkan salinan dokumen perjanjian konsesi tol antara kerajaan dan syarikat swasta. 

Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata pihaknya akan merujuk perkara itu kepada Peguam Negara untuk diteliti. 

"Banyak perkara berkaitan undang-undang yang perlu diselesaikan jika ia mahu dilaksanakan. Untuk membuka perjanjian ini kepada umum untuk semakan seperti yang dilakukan hari ini (semalam) juga memerlukan keizinan syarikat konsesi terlebih dulu," katanya. 

Mohd Zin berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Perdagangan dan Industri Mesir, Rachid Mohamed Rachid di kementeriannya, di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan pelbagai pihak termasuk DAP yang mahu supaya salinan dokumen perjanjian konsesi tol antara kerajaan dan syarikat tol diberikan kepada mereka supaya ia dapat diteliti dengan lebih mudah. 

Ketika ini, semakan perjanjian itu hanya boleh dibuat di Perpustakaan Kementerian Kerjaraya di sini, mulai 1 Januari lalu dan hanya lima orang saja dibenarkan masuk untuk setiap sesi yang tidak melebihi dua jam. 

Orang ramai dibenarkan menyemak perjanjian dengan 22 syarikat konsesi lebuh raya di seluruh negara kecuali Maju Expressway yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya, seperti yang dipersetujui Kabinet pada 17 Oktober lalu. 

Ditanya mengenai saranan beberapa pihak supaya kerajaan membeli syarikat konsesi lebuh raya bagi mengurangkan kadar tol yang membebankan, Mohd Zin berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk berbuat demikian. 

Beliau juga mengumumkan perjanjian konsesi lebuh raya Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) antara kerajaan dan syarikat yang terbabit, boleh disemak orang awam mulai petang semalam selepas pelbagai pihak membuat aduan ia tidak telus. 

"Oleh kerana ada juga aduan daripada pelbagai pihak mengenai jumlah orang yang boleh masuk meneliti perjanjian itu dalam satu masa, kita tambah daripada lima pada satu-satu masa pagi semalam kepada 10 orang supaya lebih ramai boleh melihatnya," katanya. 

Mengenai kunjungan hormat Rachid sebelum itu, Mohd Zin menggesa pelabur Malaysia meneroka program pembangunan di Mesir dan merebut peluang perniagaan terutama dalam sektor pembinaan. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian