KUALA LUMPUR 5 Jan. - Kerajaan tidak merancang untuk mengambil alih mana-mana daripada 23 buah syarikat konsesi lebuh raya di negara ini pada masa sini, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed.Beliau berkata, langkah pengambilalihan itu boleh menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos perbelanjaan yang amat tinggi.
Menurutnya, keputusan untuk mendedahkan perjanjian konsesi lebuh raya bukan bermakna kerajaan sedang menjurus ke arah itu.
"Ia (pengambilalihan) adalah perkara yang berkait rapat dengan faktor kewangan, berapa banyak kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan kelak. Buat masa sekarang, kita tidak mempunyai keutamaan ke arah langkah itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Perdagangan dan Industri Mesir, Rashid Mohamed Rachid di pejabatnya di sini hari ini.
Mohd. Zin mengulas desakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua hari ini supaya kerajaan mengambil alih syarikat konsesi terbabit bagi membolehkan kadar tol diturunkan.
Ahli Parlimen DAP itu yang hari ini membuat semakan terhadap perjanjian antara pengendali 17 projek lebuh raya dengan kerajaan berkata, beliau mendapati terdapat peruntukan dalam dokumen berkenaan yang membolehkan kerajaan mengambil alih projek atau syarikat terbabit.
Sejak Jumaat lalu, orang ramai boleh menyemak perjanjian konsesi lebuh raya antara kerajaan dengan syarikat-syarikat terbabit selari dengan keputusan Kabinet untuk mendedahkan perjanjian tersebut pada 17 Oktober lalu.
Bagaimanapun, orang ramai tidak dibenar mendapatkan salinan perjanjian konsesi sehingga perintah Yang di-Pertuan Agong di bawah Seksyen 3 Akta Fi 1951 dibuat dan dibentangkan di Dewan Rakyat dan diwartakan mengikut Seksyen 4 akta yang sama.
Kerajaan memutuskan untuk mendedahkan kepada umum perjanjian tersebut berikutan banyak pihak mendakwa perjanjian itu berat sebelah yang lebih menguntungkan pemegang konsesi tol.
Sementara itu, Mohd. Zin berkata, kerajaan berharap, mana-mana syarikat konsesi yang mendapat pulangan baik daripada pelaburan mereka supaya tidak melupakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat terutamanya pengguna lebuh raya.
Setakat ini, katanya, pihak Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) telah mengorak langkah dengan memberikan diskaun tol sebanyak 10 peratus kepada pengguna kenderaan persendirian Kelas 1 dari pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi, mulai 1 Januari lalu.
''Kita harap syarikat konsesi lain yang mendapat pulangan baik, ikut cara PLUS, berilah balik kepada rakyat,'' katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Zin berkata, pihaknya sedia menimbang untuk membenarkan orang ramai mendapat salinan perjanjian itu dan bukan setakat menyemak sahaja tanpa dibenarkan untuk dibawa keluar.
''Menurut kontrak itu, apabila membabitkan pihak ketiga iaitu orang ramai, ia akan membabitkan hal-hal berkaitan justifikasi undang-undang yang telah dipersetujui, tetapi mungkin pada masa akan datang, kita akan timbang kembali,'' katanya.