KAJANG: Pengguna lebuh raya dari Kuala Lumpur ke Seremban bakal menikmati kemudahan laluan baru, Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas) yang akan dibuka hujung bulan ini.
Pengurus Besar Lekas, Mohd Khalid Bin Mohamad, berkata secara keseluruhannya pembinaan lebuhraya Lekas sepanjang 44.3 kilometer (km) itu dibahagikan kepada 3 pakej utama iaitu Pakej 1, Pakej 2A, Pakej 2B dan Pakej 3.
Menurutnya, Pakej 2A dibina berdasarkan konsep tiga lorong sehala dengan had kelajuan 110 km/jam, manakala Pakej 1 sepanjang 18.20 km iaitu dari Kajang ke Pajam yang sudah siap dibuka kepada lalu lintas pada 22 Ogos lalu.
"Pakej 2A pula sepanjang 7.8 kilometer, bermula dari Persimpangan Bertingkat Pajam sehingga Persimpangan Bertingkat Mantin akan dirasmikan pembukaannya oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed pada 31 Disember depan," katanya.
Beliau yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Neoh Soon Hiong, berkata demikian pada sidang media prapembukaan dan lawatan media ke Pakej 2A, Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas) di sini, semalam
Mohd Khalid berkata, dengan kos pembangunan projek sebanyak RM1.75 bilion, lebuh raya akan dibuka dari Kajang ke Seremban itu dijangka memberi impak pembangunan kepada beberapa tempat dilalui.
Antara tempat itu katanya, kawasan lama di Bangi, Semenyih, Beranang, Pajam, Mantin, Nilai dan Paroi dekat sini.
Di samping itu, katanya, lebuh raya itu akan menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban sedia ada sekali gus menjamin keselesaan dan pilihan kepada pengguna.