KUALA LUMPUR: Kajian Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati hanya lapan daripada 23 lebuh raya bertol tidak mampu menurunkan kadar kutipan, tetapi kerajaan tidak boleh memaksa syarikat konsesi terbabit mengurangkannya kerana enggan dibebani pampasan.
Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata penelitian LLM terhadap aliran tunai 23 syarikat konsesi yang beroperasi sekarang mendapati hanya lapan daripadanya tidak berupaya menurunkan kadar tol kerana pelbagai sebab.
"Ini termasuk Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Lingkaran Kajang Sdn Bhd (Silk), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam-Kuang, Terowong Smart, Lebuhraya KL-Putrajaya, Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara dan Lebuhraya Baru Pintasan Selat Klang Utara.
"Walaupun kadar tol ini terikat kepada perjanjian konsesi, kerajaan boleh berunding dengan syarikat terbabit bagi menimbang semula kenaikan tetapi pengguna harus ingat bahawa sebarang pengurangan atau penangguhan kadar tol bermakna kerajaan terpaksa bayar pampasan.
"Maknanya wang rakyat digunakan untuk membayar ganti rugi kepada syarikat konsesi dan kerajaan membuat ketetapan tidak mahu lagi meneruskan amalan itu kerana tidak adil, terutama kepada rakyat yang tidak menggunakan lebuh raya berkenaan," katanya ketika dihubungi semalam.
Mengulas lanjut mengenai perjanjian konsesi antara kerajaan dan pengendali lebuh raya bertol, Mohd Zin menjelaskan kedua-dua pihak bersetuju berkongsi keuntungan, tetapi jika aliran trafik tidak mencapai unjuran asal, kerajaan terpaksa membayar pampasan.
Beliau juga mendedahkan, selain lapan lebuh raya terbabit, ada di kalangan baki 15 lagi lebuh raya yang mampu mengurangkan kadar tol atau memberi potongan pada waktu tertentu, tetapi syarikat konsesi berkenaan enggan melaksanakannya.
Sehubungan itu, beliau berharap syarikat konsesi memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberi insentif pengurangan tol seumpama Insentif Perjalanan Plus yang diperkenalkan Plus Expressways Bhd baru-baru ini.
Di bawah program itu, pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan dan lebuh raya Elite antara jam 12 tengah malam hingga 7 pagi akan menikmati potongan bayaran tol 10 peratus untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa awal tahun depan selain beberapa insentif sampingan sebagai nilai tambah.
Pada masa sama, Mohd Zin berkata, mungkin lebih banyak syarikat konsesi akan tampil mencontohi Plus yang dijangka mendedahkan semua isi kandungan perjanjian konsesi menjelang 1 Januari depan supaya orang ramai dapat menelitinya.
Difahamkan, kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 bilion bagi bayaran pampasan kepada syarikat konsesi. Setakat ini, semua syarikat konsesi bersetuju mendedahkan inti pati perjanjian konsesi masing-masing, kecuali Maju Expressway Bhd yang mengendalikan Lebuhraya KL-Putrajaya.
Mengenai cadangan sesetengah pihak supaya kerajaan mengambil alih semua konsesi tol, Mohd Zin berkata keputusan itu adalah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (EPU).