Duke mula operasi Januari | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

LEBUHRAYA Duta-Ulu Kelang Expressway (Duke) yang dikendalikan Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (Kesturi) akan dibuka kepada lalu-lintas bulan depan dengan anggaran 50,000 kenderaan menggunakannya pada tahun pertama operasi. 

Pembukaan awal lebuh raya sepanjang 18 kilometer dengan kos pembinaan RM890 juta itu bagaimanapun akan hanya membabitkan laluan Karak-Ulu Kelang sebelum laluan Duta-Sentul dibuka pada April depan. 

Lebuh raya bertol terbaru di Lembah Klang dengan empat dan tiga lorong itu terdiri daripada tiga laluan iaitu Duta Link, Ulu Kelang Link dan Karak Link. 

Duta Link membabitkan perjalanan ke arah timur antara Duta dan Sri Hartamas (berhampiran Solaris) ke Jalan Kuching dan Jalan Sentul, sementara Ulu Kelang Link meneruskan laluan Duta Link menuju Jalan Ulu Kelang/MRR II dan melintasi Jalan Pahang, Jalan Ayer Jerneh dan Jalan Semarak. 

Karak Link pula membabitkan perjalanan ke arah utara iaitu dari Duta dan laluan Ulu Kelang Link dengan menyediakan akses ke kawasan sekitar Batu Caves, Genting, Karak sebelum menuju ke Pantai Timur. 

Pengarah Projek Duke, Chua Soo Kok, berkata pembukaan lebuh raya itu dapat mengurangkan kesesakan di Kuala Lumpur selain menyediakan perjalanan selesa dari Duta menuju Pantai Timur dan Ulu Kelang serta sebaliknya. 

"Dengan pemanduan pada 80 km sejam, pengguna boleh sampai ke Ulu Kelang atau Batu Caves dari Duta atau NKVE dalam masa sembilan minit," katanya dalam satu temubual dengan Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Chua lebuh raya terbuka itu turut menyediakan kira-kira lapan kilometer atau 50 peratus perjalanan bebas tol. 

Perjalanan bebas tol termasuk dari Persimpangan Bertingkat Duta menuju Persimpangan Bertingkat Kuching; Persimpangan Bertingkat Greenwood ke Persimpangan Bertingkat Bandar Dalam serta dari Persimpangan Bertingkat Setiawangsa menuju Persimpangan Bertingkat Hillview. 

"Konsep lebuh raya terbuka bermakna pengguna hanya perlu berhenti sekali saja di salah satu tiga plaza tol yang berkenaan bagi membuat pembayaran tanpa perlu mengambil tiket tol," kata Chua. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian