KUALA LUMPUR- Tempat berteduh untuk penunggang motosikal di Lebuh Raya Cheras-Kajang dekat sini sedang dalam proses dipasang lampu.
Pengurus Besar Kanan Grand Saga Sdn Bhd, A Rajasolan berharap pengguna bersabar sehingga kerja-kerja pemasangan itu selesai dalam sedikit waktu lagi.
"Untuk makluman tempat berteduh motosikal hala ke Kuala Lumpur sedang dalam proses pemasangan lampu.
"Bagi tempat berteduh hala kajang pula, ia mempunyai lampu yang berfungsi tetapi malangnya pada 26 November lalu telah berlaku lebihan kuasa akibat petir yang kuat.
"Kejadian itu menyebabkan lampu sedia ada tidak berfungsi,"jelasnya dalam satu kenyataan d sini semalam.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai keresahan para pengguna motosikal yang menggunakan tempat berteduh di lebuh raya itu.
Laporan itu menyiarkan rungutan penunggang motosikal mengenai hentian motosikal di lebuh raya itu yang gelap sehingga membimbangkan mereka untuk berteduh di situ terutama pada waktu malam.
"Pihak kami sentiasa mengambil langkah penambahbaikan demi memastikan keselesaan dan kepuasan pengguna lebuh raya ini dipenuhi," ujar Rajasolan.