Lebuh Raya Duke dibuka percuma | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR - Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dari persimpangan Duta ke Jalan Kuching dan persimpangan Greenwood ke persimpangan Hillview dibuka secara rasmi untuk lalu lintas semalam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, sehingga 8 Februari 2009, laluan tiga lorong sepanjang 18 kilometer itu tidak akan dikenakan bayaran tol.

"Kerajaan dan pemegang konsesi telah bersetuju untuk tidak mengenakan tol bagi pakej dua dan tiga lebuh raya ini sehingga 8 Februari depan.

"Selepas tarikh tersebut, kadar tol akan dikenakan RM2 dan caj tersebut tidak akan naik selama enam tahun," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian di Plaza Ayer Panas, Setapak semalam.

Katanya, pakej pertama membabitkan Plaza Batu di Jalan Kucing dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac ini sekali gus akan melengkapkan keseluruhan lebuh raya tersebut.

Beliau memberitahu, lebuh raya dengan tujuh persimpangan bertingkat itu akan mempunyai tiga plaza tol.

"Bagaimanapun, 46 peratus daripada laluan tersebut bebas tol iaitu di persimpangan Duta ke Jalan Kuching, persimpangan Setiawangsa ke Hillview dan persimpangan Bandar Dalam ke Greenwood," jelasnya

Kata Zin, semua 1,300 penduduk setinggan di kawasan tersebut yang terlibat dalam projek Duke ditawarkan menyewa flat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sungai Bonus dan Air Panas sebagai pampasan.

Lebuh Raya Duke dikendalikan Konsortium Lebuh raya Utara Timur Sdn. Bhd. (Kesturi) sebagai pemegang konsesi yang membabitkan perbelanjaan RM892 juta.

Lebuh Raya Duke disifatkan sebagai 'laluan pelengkap' dalam pelan induk penyuraian trafik dan dapat mengurangkan kesesakan. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Kosmo