KUALA LUMPUR: Mulai semalam pengguna jalan raya di ibu kota boleh menarik nafas lega apabila secara rasminya Lebuhraya Duta-Hulu Klang (Duke) dibuka kepada lalu lintas sebagai alternatif mengatasi kesesakan.
Malah, lebih menggembirakan pembukaan Duke bukan saja mampu menjimatkan masa perjalanan sebaliknya memberi keuntungan apabila kerajaan bersetuju untuk tidak menaikkan kadar tol sepanjang enam tahun akan datang.
Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata projek pembinaan Duke berjumlah RM892 juta itu merangkumi dua fasa membabitkan laluan sepanjang 18 kilometer dengan tujuh persimpangan bertingkat yang menghubungkan kawasan sekitar Kuala Lumpur.
Katanya, sebagai permulaan pembukaan lebuh raya itu hanya membabitkan fasa pertama iaitu dari Persimpangan Duta ke Jalan Kuching dan Persimpangan Greenwood ke persimpangan Hillview yang merangkumi laluan sepanjang 12.7 kilometer sementara fasa kedua dijangka siap dan dibuka pada lalu lintas pada April depan.
"Secara keseluruhan, laluan ini dibahagikan kepada tiga seksyen utama iaitu bermula dari Lebuhraya Baru Lembah Klang di Jalan Duta dan berakhir di dua kawasan berbeza.
"Salah satu daripadanya berakhir di Jalan Lingkaran Tengah II (MRR II) bagi arah timur Kuala Lumpur manakala satu lagi berakhir di Batu Caves bagi arah utara," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Urusan Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (Kesturi), Datuk Haris Hussein, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Mohammad Razali Othman, dan Ketua Pengarah Jabatan Kerja, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim.
Mohd Zin berkata, pembinaan tujuh persimpangan bertingkat itu terdiri daripada persimpangan Jalan Duta, Jalan Kuching, Sentul Pasar, Setiawangsa, Hillview, Bandar Dalam dan Greenwood.
Katanya, Duke juga turut dilengkapi dengan lima jalan susur keluar masuk di Jalan Sentul, Jalan Semarak, Jalan 37/56, Jalan Pahang dan Jalan Ayer Panas.
"Pembukaan lebuh raya ini sebagai satu alternatif kepada laluan lain sedia ada di mana selain menjamin keselesaan, ia juga satu langkah mengatasi kesesakan yang berlaku.
"Kita menjangkakan lebih 120,000 kenderaan bakal menggunakan laluan ini setiap hari berikutan kedudukan Duke ini mampu menjamin penyuraian kenderaan terutamanya ketika waktu puncak," katanya.
Sementara itu, Haris berkata, bermula semalam, orang ramai boleh menggunakan laluan ini secara percuma sehingga 8 Februari depan bagi merasai keselesaan serta keselamatan ditawarkan Duke.